Monday, July 21, 2008

KPP Pendaftar Baharu Darul Quran



DARUL QURAN — Mungkin masih ramai yang belum sedar akan kehadiran seorang Ketua Penolong Pengarah Pendaftar baharu di Darul Quran, iaitu Ustaz Haji Abdul Kodir bin Sallah. Oleh itu, baru-baru ini wartawan Up to the Minute telah mengatur sebuah pertemuan dengan beliau untuk mengenali beliau dengan lebih dekat.
Ustaz Haji Abdul Kodir berusia 52 tahun dan merupakan anak sulung daripada enam orang adik-beradik. Anak kelahiran Kedah ini telah dikurniakan tujuh orang anak. Ustaz Haji Abdul Kodir telah mendapat pendidikannya di Sekolah Menengah Agama Makarimul Akhlak, Langgar, serta Sekolah Raudhatul Ulum, Langgar. Kemudian, beliau melanjutkan pengajiannya di Yayasan Pengajian Islam Tinggi Kelantan, seterusnya di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, di mana beliau berjaya memperoleh ijazah sarjana muda dalambidang Syariah dan Usuluddin. Beliau juga mempunyai Sijil kefatwaan Darul Iftak daripada Universiti Al-Azhar, Mesir.
Sebelum ditugaskan di Darul Quran, Ustaz Haji Abdul Kodir merupakan Ketua Penolong Pengarah (KPP) Bahagian Undang-undang Syariah di Jabatan Agama Islam Melaka dari 2006 sehingga 2008. Beliau juga pernah menyadang jawatan pengetua di IKMAS, serta pernah berkhidmat di BAHEIS dalam bidang dakwah.
Apabila ditanya tentang perasaanya ketika mula-mula ditugaskan di sini, beliau berkata bahawa beliau berasa amat gembira kerana bidang pendidikan di Darul Quran amat bersesuaian dengan bidang yang diceburinya.
Ustaz Haji Abdul Kodir juga mempunyai aspirasi yang tinggi untuk Darul Quran serta para pelajarnya. Beliau berharap agar para pelajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan. Katanya, “Harapan ustaz agar lebih ramai lagi yang mencapai imtiyaz pada tahun ini dan akan datang.” (Ingat tu, AQRAB! Sahut cabaran!) Oleh yang demikian, para pelajar hendaklah membuat persediaan dari sekarang.
Ustaz Haji Abdul Kodir juga telah memberi ulasan positif mengenai penerbitan Up to the Minute (UTTM). Katanya, “(UTTM merupakan) suatu idea yang bagus kerana melalui UTTM ini, (kita) dapat tahu apa yang berlaku dalam semester AQRAB.” Katanya lagi, “Cadangan daripada ustaz agar UTTM diberi kepada orang-orang penting Darul Quran. Dan untuk keluran akan datang cuba untuk temubual pelajar-pelajar yang cemerlang dalam konvokesyen tahun ini.”

Sunday, July 20, 2008

Program Bersama Orang Asli


DENGKIL, BANTING – Pada cuti semester yang lepas, pastinya ramai pelajar yang pulang ke kampung halaman untuk melepaskan rindu pada keluarga namun ada teman- teman kita yang terpaksa memendekkan cuti untuk mengikuti program yang dianjurkan oleh unit dakwah JAKIM bersama dengan penduduk orang asli Bukit Serdang, Dengkil di daerah Banting selama 3 hari iaitu pada 11,12 dan 13 Julai. Seramai 40 orang pelajar Darul Quran telah terlibat dalam program ini dan 14 daripadanya adalah pelajar AQRAB.
Program ini dinamakan sebagai “Program Ramah Mesra dan Sukaneka Bersama Penduduk Kampung Orang Asli”. Bersesuaian dengan tema tersebut, para pelajar perlu membina hubungan mesra dengan penduduk lebih-lebih lagi dengan keluarga angkat masing-masing. Ini merupakan satu wasilah dakwah bil hal bagi menarik mereka kepada agama Islam. Terdapat 10 keluaga yang terlibat dan 3 daripadanya merupakan keluarga bukan Islam.
Untuk makluman pembaca, lokasi penempatan mereka adalah di ladang kelapa sawit. Infrasruktur di sini memuaskan walaupun ada persekitaran yang kotor dan terdapat beberapa buah rumah yang tiada bekalan api dan air. Walaubagaimanapun, surau dan dewan serbaguna telah disediakan untuk kemudahan penduduk. Semoga kehadiran para peserta dapat menyampaikan kandungan Islam yang sangat menitikberatkan kebersihan kepada penduduk. Tahniah diucapkan kepada Mohd Azan bin Safar dan Zuraidah bt. Zainuddin yang telah mengetuai rombongan ini. Walaupun tentatif selalu berubah bermula dari taklimat pertama di Darul Quran hinggalah sampai di sana dan menerima kritikan, itu semua merupakan asam garam kehidupan sebagai pendakwah dan menjadi iktibar bagi kita semua untuk melakukan yang terbaik pada masa akan datang.

Wednesday, July 2, 2008

Lawatan Pelajar Dakwah ke Parlimen


KUALA LUMPUR – Pada 2 Julai, seramai 75 orang pelajar semester lima syukbah Dakwah,iaitu yang terdiri daripada 28 orang banat dan 47 orang banin telah mengadakan lawatan ke Parlimen. Program lawatan yang diberi nama ”Hikmah Kembara” ini telah diiringi oleh dua orang ustazah iaitu Ustazah Zarina bt Ghazali dan Ustazah Nazatturaha bt Dahalan, serta seorang ustaz yang tidak cukup asing lagi iaitu Ustaz Zamri Zainuldin. Guru penasihat bagi program ini ialah Ustaz Ahmad Bohairi b. Nawawi selaku pensyarah madah Pengucapan Dakwah.

Para pelajar berkumpul di dataran masjid seawal jam 10.15 pagi sebelum bertolak ke Parlimen pada jam 10.30 pagi. Selaku pengarah program, Saudara Mohd Radhi Mohd Noh yang dibantu oleh timbalannya iaitu Saudari Rohimah Abd Rahman, sentiasa memastikan setiap gerak kerja berjalan dengan lancar. Akhirnya, rombongan tida di destinasi pertama yang dituju pada jam 12.00 tengahari.

Sekalipun terpaksa berjalan agak jauh menuju ke bangunan Parlimen, namun itu tidak mematahkan semangat berkobar-kobar para pelajar untuk melihat sendiri ahli-ahli Parlimen bersidang. Ketika melangkah masuk ke Dewan Rakyat, terasa satu aura yang berbeza kerana yang hadir di dalamnya adalah di kalangan wakil-wakil rakyat serta orang-orang kenamaan. Pastinya terasa agak janggal bagi para pelajar kerana inilah kali pertama mereka melangkah ke dalam Dewan Rakyat. Antara yang dapat dilihat hadir ketika itu ialah, Dato’ Khairy Jamaluddin, YB Nurul Izzah bt Anwar, Dato’ Mahfuz Omar dan ramai lagi.
Suasana di dalam Dewan Rakyat agak hangat dengan perdebatan antara YB-YB. Mungkin inilah saat-saat yang ditunggu-tungu oleh mereka yang sentiasa mengikuti persidangan parlimen. Isu yang hangat dibincangkan ialah tentang isu kenaikan harga minyak. Tepat jam 1.00 petang, persidangan ditangguhkan. Selesai sahaja persidangan tersebut, para pelajar telah dibawa ke Dewan Negara untuk mendengar sedikit taklimat ringkas daripada Encik Mohd. Faizal selaku jurubahasa di Parlimen.

Sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi yang kedua iaitu Pusat Sains Negara, para pelajar telah singgah di Masjid Wilayah untuk menunaikan solat zuhur. Kedatangan mereka ke Masjid Wilayah telah disambut mesra oleh Ustazah Fathiah. Pastinya, inilah saat-saat paling menyeronokkan bagi mereka (lebih kurang macam jejak kasih). Untuk pengetahuan semua, program lawatan ini merupakan idea asal daripada ustazah sendiri. Ustazah Fathiah merupakan pensyarah dakwah pada semester empat yang lepas tetapi telah ditukarkan ke JAWI.

Seterusnya, bas rombongan menuju ke Pusat Sains Negara. Perjalanannya tidaklah mengambil masa yang lama dan akhirnya tiba lebih kurang jam 3.30 petang. Di sana, para pelajar berpeluang melihat pelbagai barang yang dipamerkan. Berjalan seolah-olah berada di dasar laut yang dipenuhi dengan pelbagai jenis ikan pastinya memukau mereka yang pertama kali menjejakkan kaki ke Pusat Sains Negara. Setelah hampir satu jam setengah berada di dalam kawasan tersebut, arahan diterima daripada pengarah program untuk bertolak balik ke Darul Quran. Bas tiba di Darul Quran lebih kurang jam 8.30 malam.

Sekalipun jelas tergambar keletihan dikalangan mereka, namun kegembiraan bertemu ustazah kesayangan pastinya tidak dapat dilupakan. Paling penting, ilmu yang diperolehi di Parlimen sedikit sebanyak menambah thaqofah dikalangan mereka. Semestinya ada yang berazam untuk berucap di dewan Parlimen tersebut dan seterusnya mengubah corak pentadbiran negara satu hari nanti. Tahniah diucapkan kepada koordinator-koordinator yang telah bertungkus-lumus menjayakan program lawatan ”Hikmah Kembara” ini.