Tuesday, December 30, 2008

Kunjungan Tokoh Maal Hijrah ke DQ

Pada 30 Disember lepas bumi Darul Quran sangat bertuah kerana dikunjungi oleh ulama’ ternama dunia iaitu Sheikh Mustofa Waahbah Az-Zuhaili. Beliau merupakan antara ulama’ tersohor di dunia kala ini yang sangat tersohor dengan karangan beliau yang hebat, tafsir munir yang mengandungi tafsiran 30 juzu’ Al-Quran dan Fiqh Islam Wa Adillatuhu. Beliau juga terkenal dengan kajian beliau tentang perbandingan perundangan Islam dan Undang-undang Tribunal Dunia..
Bermula dengan perjumpaan bersama para staf kemudian lebih kurang jam 12 tengahari, Fadhilatussheikh hadir ke dewan muktamar memberi taujihat dan nasihat kepada banin dan banat DQ serta pelajar-pelajar baru O.K.U (Orang Kurang Upaya ) Masalah Penglihatan.
Pada hari yang bersejarah itu , beberapa warga AQRAB menyaksikan bagaimana Ustaz Syed Tolbah berusaha memanjat tangga untuk pergi ke Dewan Syura demi bertemu dengan ulama’ pujaan beliau. Walaupun mempunyai kecacatan di bahagian kaki yang menyebabkan beliau tidak dapat berjalan , dengan keadaan termengah-mengah akhirnya beliau berjaya juga ke dewan Syura. Tabarakallah, Mabruk ‘Alaih…
Fadhilatussheikh berpesan kepada banin dan banat agar tekun menuntut ilmu dan beliau memetik ayat-ayat suci Al-quran dan sabda junjungan tentang fadhilat menuntut ilmu dan kedudukan orang yang berilmu disisi Allah. Sheikh Wahbah juga berpesan agar para pelajar meninggalkan maksiat dengan mengambil pesanan Waki’ guru Imam Syafie tatkala Imam Syafie mengadu tentang hafalannya yang lambat. Pesan Waki’e ‘Sesungguhnya ilmu itu cahaya Allah, dan cahaya Allah tidak akan diberikan kepada pembuat maksiat’. Usai dari majlis tersebut, maka berebutlah para pelajar untuk bersalaman dan memeluk Sheikh Wahbah kemudian menangkap gambar bersama-sama beliau. Ada juga yang mengambil peluang untuk ‘test’ bahasa arab mereka pada hari itu.
Moga-moga akan ada lagi lawatan daripada ulama’ besar dunia ke DQ ini selepas ini. Diharapkan kehadiran Sheikh Wahbah Az-Zuhaili dapat meningkatkan semangat para pelajar untuk menjadi perawis anbiya’ dan menjadi pendakwah yang akan menerangi dunia ini dengan cahaya Islam . Mungkinkah nanti akan ada ‘Az-Zuhaili’ daripada bumi Darul Quran, , marilah sama-sama kita buktikan…

Sunday, December 21, 2008

Berkenalan dengan Penasihat AQRAB


Siapakah beliau...

Nama: Mohammad Zaki bin Ibrahim

Nama isteri: Nurulfirdaus binti Rejab

Nama anak: 1. Muhammad Ikmal Hafiz
2. Muhammad ‘Irfan Naufal
3. Nur Hana’ Syakiroh

Asal: Dungun Terengganu Darul Iman

Adik Beradik: Sepuluh orang, anak yang ke Enam

Kelayakan Akademik: 1. Diploma Tahfiz – Darul Quran Jakim
2. Ijazah Sarjana Muda Usuluddin – Universiti Malaya.

Pengalaman Kerja : 1. Guru Tasmi’ Jemputan.
2. Penolong Pengarah Dakwah – Jabatan Agama Islam Selangor
3. Pegawai Tadbir Agama – Pejabat Agama Islam Daerah Sepang


Apa kata beliau...

1. Apakah perkembangan terbaru ustaz?
Assalamualaikum wbt, pertamanya terima kasih kerana memberi peluang kepada ana untuk sama-sama dengan UTTM ini, ana sekarang agak sibuk lebih-lebih lagi apabila bertukar dari Penolong Pengarah Pusat Islam kepada Penolong Pengarah Pengambilan pada bulan Mei yang lalu, buat masa sekarang ana baru sahaja selesai menguruskan temuduga bagi pengambilan pelajar persijilan tahfiz yang insyaAllah akan mendaftar ke DQ pada 27hb Disember depan dan ana juga sedang menguruskan pengambilan pelajar sulung untuk program Sijil Tahfiz al Quran Orang Kurang Upaya Masalah Penglihatan juga dijangka akan mendaftar pada akhir Disember 2008 ini.

2. Apakah pandangan ustaz mengenai sem AQRAB dan ahli-ahli semester AQRAB?
Ana terlebih dahulu ingin mengucapkan tahniah kepada ahli AQRAB yang mendapat Imtiyaz dalam imtiham semester 5 yang lalu, mengenai pandangan ana pada ahli AQRAB, alhamdulillah semuanya baik, walaupun terdapat juga masalah yang melanda ahli AQRAB, bagi ana peratusnya adalah sedikit.

3. Perasaan ustaz menjadi penasihat sem AQRAB?
Perasaan ana menjadi penasihat AQRAB, sangat gembira, lebih-lebih lagi ana pernah mengajar semua ahli AQRAB bagi syu’bah Dakwah ana pernah mengajar Madah Pengantar Dakwah dan Syu’bah Qiraat ana mengajar madah Dakwah Khitabah, cuma sedikit terkilan kerana ana tak dapat memberi sepenuh perhatian kepada AQRAB kerana disebabkan kesibukan ana bukan sahaja sebagai pensyarah tetapi juga sebagai Penolong Pengarah bahagian Pengambilan.

4. Pandangan ustaz mengenai UP TO THE MINUTE ini?
UTTM merupakan salah satu perkara yang baik yang AQRAB lakukan, pastikan keluaran yang akan datang sentiasa lebih baik dari sebelumnya, cuma nasihat ana pada UTTM pastikan setiap berita yang dikeluarkan tidak menyinggung mana-mana pihak dan yang paling penting berita atau artikel yang diterbitkan adalah yang sahih dan betul.

5. Nasihat dan harapan ustaz...
Harapan ana kepada semua ahli AQRAB ialah sila pastikan ayat-ayat suci al-Quran yang telah dihafaz dan Tasmi dihadapan ustaz diingati, kerana kita sebagai penghafaz al-Quran adalah wajib untuk mengingati segala ayat yang telah kita hafaz, jangan ada gangguan lain yang menyebabkan kita lupa tanggungjawab kita.

Dugaan jubah khatam


Seperti lazimnya,majlis khatam merupakan satu tradisi darul quran yang akan di adakan setiap tahun untuk pelajar-pelajar sem6. Dan kali ini aqrab yang juga sem 6 bakal melalui majlis yang penuh bermakna ini. Seperti tahun-tahun yang terdahulu,jubah khas untuk majlis khatam ini akan ditempah. Oleh kerana pengalaman dalam membina jubah khatam mempunyai banyak rintangan, ketua sem aqrab telah menubuhkan sekteret jubah yang menguruskan jubah khatam dari peringkat awal hingga selesai. Koordinator sektariat jubah terdiri dari banin dan banat sijil iq-rac dan diploma aqrab. Setelah memilih warna kain, pihak sekteret jubah memilih syarikat jekel untuk membekalkan kain dan menempah jubah. Febrik kain Rolex menjadi pilihan bagi pelajar banin dan crystal silk bagi pelajar banat. Untuk tahun ini pelajar aqrab dan iq-rac menghadiahkan kain Benza Plain untuk baju melayu seragam bagi pensyarah tasmi’. Pejanjian awal dibuat pada hujung bulan Oktober telah di buat dan pihak jekel meminta peruntukan masa bagi menyediakan bekalan kain kerana kuantiti yang agak banyak (1324 meter).
Setelah sampai tempoh masa yang ditetapkan, pihak jekel masih tidak dapat menyediiakan kain yang di tempah, dan meminta pihak sketeret jubah untuk menukar pilihan febrik yang tidak bermutu (bagi pelajar banin). Oleh kerana kecewa dengan pengurusan pihak jekel, sketeret jubah mengambil keputusan menarik wang deposit untuk kain sebelah banin dan Banat memilih untuk menukar fabrik crystal silk kepada sb line yang merupakan pilihan kedua untuk pelajar banat. Untuk mendapat kan jumlah kain yang banyak dan kain yang bermutu, survey telah dibuat di sekitar nilai dan Bandar klang dan berhasil menemukan kain jenis koshibo dan dapat menyelesaikan dalam masa tiga hari sahaja.
Dalam proses pencarian kain untuk jubah khatam, pengarah dan bendahari aqrab telibat dalam kemalangan motosikal dan lori. Disebabkan pemanduan lori yang tidak berhemah dan laju, menyebabkan bendahari patah kaki kiri dan perlu disimen selama 1 bulan setengah (Alhamdulillah tak teruk sangat). Kini kaki kiri bendahari masih lagi bersimen dan meneruskan pembelajaran ke kelas dengan menggunakan kerusi roda.Walaupun begitu, tahniah diucapakan kepada mereka kerana dapat menyelesaikan kain jubah khatam. Syabas!!

p/s : tolong siapkan jubah khatam sebelum 29 disember 2008.

Pilihanraya Kampus


Antara kontroversi dan realiti

DARUL QURAN — Pada saat laporan ini ditulis, semua warga Darul Quran telah pun mengetahui barisan pimpinan PERKEMAT yang baharu untuk sesi 2008/2009. Sepanjang minggu ini bermula malam perbahasan usul hinggalah Mesyuarat Agung Tahunan (AGM), banyak rentetan peristiwa yang menarik dan mencetuskan kontroversi. Pada malam perbahasan usul, antara usul yang paling hangat dibahaskan adalah usul menaikkan pointer 3.0 kepada 3.5 sekurang-kurangnya bagi calon yang ingin bertanding pada pemilihan kali ini. Perbahasan isu ini berlanjutan sehingga lebih dari satu jam. Selain itu, para pelajar yang turut menonton pada malam tersebut pasti tidak dapat melupakan usul daripada pelajar banat untuk menukarkan istilah “dan” kepada “atau”, kebenaran mendapatkan persetujuan guru tasmi’ bagi calon-calon yang ingin bertanding dan mewujudkan panel khas bagi menilai kemampuan calon-calon dari segi hafalan, akhlak dan prestasi akademik.
Ada yang bersetuju dan sebaliknya ada yang tidak bersetuju dengan usul yang diutarakan. Namun, apa yang menyedihkan ialah tidak ramai ahli semester ILHAM terutamanya banin yang tampil bagi membincangkan hala tuju persatuan kebajikan ini. Kelihatan abang-abang dari AQRAB dan pelajar persijilan serta banat ILHAM lebih lantang mengemukakan usul yang dianggap wajar dibahaskan. Tambahan pula, AJK Penyelaras Pemilihan Calon (PPC) yang diwakili oleh ILHAM dan ITQAN kelihatan lesu kerana hanya membiarkan AJK yang terdiri dari AQRAB sahaja yang menjawab setiap usul yang dibahaskan di Auditorium Sheikh Mohd Noor seperti yang ditanya oleh Firdaus Kadir. Namun Ketua PPC menjawab pertanyaan wartawan kami dengan menyatakan mungkin mereka tidak mempunyai pengalaman lagi.
Ada yang emosi kerana tidak diberikan peluang untuk membahaskan usul dan ada pula yang sehingga menyentuh sensitiviti beberapa pihak. Hal ini perlu dielakkan kerana tiada insan yang sempurna sifatnya.
Kontroversi terus menyelubungi pada hari penamaan calon kerana calon-calon yang sepatutnya bertanding tidak tersenarai dan tidak ditampal pada softboard selaku calon yang layak bertanding. Wartawan kami telah mendapatkan komen daripada beberapa orang pelajar bagi menjawab isu ini.

“Berlaku salah faham kerana calon-calon kami tidak disenaraikan. Hanya tiga calon yang mewakili lajnah Hewa.Laridasi dan Tadbir yang layak untuk memberI saingan. Pihak kami cuba mendapatkan penjelasan daripada Ketua PPC dan menyatakan berlaku kesilapan dalam borang pencalonan. Setelah berbincang dan berbalah, akhirnya hanya pencadang yang dibenarkan masuk untuk mengetahui sebab-sebab calon kami tidak layak bertanding dan ternyata satu kesilapan itu cukup untuk tidak melayakkan calon kami bertanding.” - Akmal ILHAM -

“ Isu PPC sengaja memenangkan calon PERKEMAT sewajarnya tidak timbul kerana saya sendiri turut dipulaukan oleh bekas exco PERKEMAT 07-08 sepanjang proses pilihan raya. Peratusan keluar mengundi majoriti bagi persijilan dan ITQAN manakala bagi ILHAM hanya sedikit terutama AQRAB yang hanya lebih kurang 20-30 peratus yang membuang undi. Seharusnya pada malam perbahasan usul, sensiviti individu tertentu tidak wajar disentuh kerana akan menjatuhkan aib. Memanglah bagi pihak PPC kami ingin melihat ramai calon bertanding tetapi PPC akan dipersoalkan jika menerima borang pencalonan yang tidak menepati syarat yang telah ditetapkan. Tambahan pula kesilapan tersebut merupakan kesalahan yang besar yang cukup tidak melayakkan seseorang calon untuk bertanding.” -Ketua PPC -

"saya berpuas hati dengan keputusan dan peratusan keluar mengundi kerana... kerana apa?... Kerana ia menepati dengan jangkaan saya iaitu yang menang memang menang (susah nak baca). Ramai yang keluar pada hari mengundi.. Keluar KKB." - delegasi GTD.

"Rugi rasanya kerana tak sempat membuang undi pada hari tersebut disebabkan terpaksa hadir ke Majlis Tahlil di rumah Dato' K (siti nurhaliza) =)" - Admin Blog Aqrab.

Berikut pula merupakan hasil temuramah di sebelah banat tentang pendapat mereka mengenai pilihanraya Darul Quran pada kali ini.

“Pilihanraya di sebelah banat kurang hangat kerana kurang persaingan. Malah kempen-kempen yang dilancarkan oleh pihak yang bertanding juga kurang tapi Alhamdulillah segalanya berjalan lancar dan natijahnya juga Alhamdulillah dan kita harus wala’ pada pimpinan yang kita pilih walaupun kita senior , dan seharusnya kita saling membantu kerana pemimpin kita yang akan meneruskan biah solehah di DQ.” - Mazawani Murad-

“Agak mengecewakan kerana peratus ahli yang mengundi menurun berbanding tahun lepas. Masing-masing tidak mengambil berat dengan mengabaikan tanggungjawab memilih pemimpin mereka.” -Wan Salwa-

Monday, December 8, 2008

apa erti pengorbanan bagi anda?

Terdahulu, Salam Pengorbanan Eidul Adha kepada semua. SEmoga kita semua dilimpahkan dengan sejuta penghayatan terhadap peristiwa Nabi Ibrahim a.s. dan anakandanya yang tersayang Nabi Ismail a.s. Dunia ini hanya sementara...pernahkah anda terfikir, apakah pengorbanan yang telah anda lakukan? dan apa erti pengorbanan bagi anda? ayuh, sama-sama lah kita renungkan kembali, semoga Allah S.W.T. sentiasa menunjukkan kita jalan yang lurus untuk kita tempuhi bersama...

Eid Mubarak!

Monday, December 1, 2008

Kak Timah pindah Perpustakaan Negara


DARUL QURAN – Setelah lapan tahun berkhidmat di Perpustakaan Darul Quran, Puan Patimah atau lebih dikenali dengan Kak Timah telah pun ditukarkan semula ke Perpustakaan Negara bermula 1 Disember kerana dinaikkan pangkat. Perpustakaan Negara bukanlah suatu tempat baru bagi Kak Timah kerana beliau pernah berkhidmat di sana selama lapan tahun sebelum ditukarkan ke Darul Quran. Sebelum pergi, beliau sempat memberi sedikit pesanan buat warga AQRAB. Kata beliau,
“ Selamat menjalani peperiksaan pada tahun hadapan, jangan cilok buku dan tesis dari maktabah dan buat yang terbaik sampai dapat imtiyaz.” Kami warga AQRAB turut mendoakan agar Kak Timah terus berjaya dalam karier dan kehidupannya di dunia dan akhirat.

Thursday, October 30, 2008

Abdul Rahman berlepas ke Madinah


K.L.I.A-Tanggal 30 Oktober 2008, lebih kurang seramai 20 orang pelajar banin A.Q.R.A.B telah berkumpul di K.L.I.A, Sepang bagi mengiringi pemergian sahabat kita, Saudara Abdul Rahman Bin Zainal Abidin atau lebih dikenali dengan panggilan Man-Dun dikalangan banin A.Q.R.A.B bagi melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Madinah. Pada mulanya, beliau dijadualkan berlepas ke sana pada 9 Oktober 2008 tetapi penerbangan beliau terpaksa ditangguhkan disebabkan masalah bagi mendapatkan visa dari kerajaan Arab Saudi.

Siapa sangka setelah 5 semester bersama menjalani kehidupan di Darul Quran, beliau nekad membuat keputusan untuk mengejar impiannya sejak dari zaman persekolahan lagi bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang ilmu Hadith di Madinah, Arab Saudi. Untuk pengetahuan sahabat A.Q.R.A.B, Saudara Rahman sendiri menjangkakan beliau akan melanjutkan pelajaran di sana sebaik sahaja tamat pengajian di Darul Quran kerana kebiasaannya tawaran akan diterima selepas 2 tahun dari tarikh permohonan tetapi tanpa disangka-sangka tawaran tersebut datang lebih awal dari jangkaan beliau. Sepertimana yang sering beliau katakan, inilah dia yang disebut “Qaddarallahu masya~a fa’al” . Beliau mengharapkan sahabat-sahabat A.Q.R.A.B banin dan banat memahami keputusan beliau seterusnya mendoakan kejayaan beliau disana.

Sepanjang pengajian di Darul Quran, beliau telah banyak melibatkan diri dalam pelbagai organisasi terutamanya selaku setiausaha A.Q.R.A.B dan pengerusi bagi bagi Kelab Bahasa Darul Quran. Moga-moga Allah s.w.t akan memberkati kehidupan beliau atas segala usaha baik yang telah dicurahkan. Sebagai sahabat beliau, marilah kita banin dan banat A.Q.R.A.B bersama-sama mendoakan supaya segala urusan beliau dipermudahkan dan dikurniakan kejayaan yang cemerlang... Amin.

Wednesday, October 29, 2008

Bit-info Dapat Ketua Baru (lagi)


MASJID DARUL QURAN 28 OKTOBER 2008 — Satu perjumpaan bagi melantik setiausaha dan ketua Bit-Info yang baru bagi menggantikan saudara Abdul Rahman yang telah melanjutkan pelajarannya di Universiti Islam Madinah dan saudara Firdaus Zin yang telah meletakkan jawatan atas sebab-sebab tertentu. Warga banin AQRAB dengan sebulat suara telah memilih Arif Ariffin sebagai setiausaha dan Ahmad Mawardi dinaikkan pangkat dari Ketua Unit Editor Bit-Info kepada Ketua Bit-Info yang baru.
Kami semua mengharapkan agar saudara Mawardi serta Arif akan menjalankan tugas mereka dengan ikhlas dan dedikasi untuk kebaikan bersama.

Monday, October 13, 2008

Pulau Perhentian destinasi Bakti Huffaz


PULAU PERHENTIAN, TERENGGANU - Pada malam selasa , kami telah bertolak dari Darul Quran dengan menaiki dua buah bas dan diiringi oleh tiga orang pensyarah : ustaz Shahrulkarnain, ustaz Hazri dan cik Zubaidah. Seramai 54 orang pelajar telah menyertai Bakti Huffaz kali ini yang terdiri daripada pelajar AQRAB. Setelah tiba di jeti Besut pada pagi selasa itu, kami terus menaiki bot besar untuk menuju ke pulau. Di sana kami meneruskan aktiviti dengan mengadakan Majlis Perasmian dan majlis penyerahan anak angkat. Seramai 21 keluarga angkat yang telah mengikuti program ini, 11 buah keluarga telah dibahagikan untuk banin dan 10 buah keluarga lagi telah di bahagikan untuk banat. Pada malam itu kami telah mengadakan Malam Kesenian. Seterusnya pada esok hari program Tahsinul Quran, Praktikal Wudhu’ dan Solat dan Program Motivasi Sekolah yang dikendalikan oleh saudara Azan dan perlawanan persahabatan di antara pelajar DQ dan para penduduk pada waktu petang. Malamnya pula telah diadakan ceramah Forum Perdana yang bertajuk “Keluargaku Syurgaku” yang disampaikan oleh ustaz Sahrulkarnain sebagai panel pertama dan saudara Ahmad Firdaus bin Kadir sebagai ahli panel kedua. Pada hari terakhir, kami telah mengadakan gotong-royong dan juga membuat persediaan untuk Majlis Khatam Quran yang akan berlangsung pada sebelah petangnya. Pada malam tersebut telah berlangsung Majlis Perasmian Penutup. Sebelum majlis berakhir, penduduk kampung dikejutkan dengan persembahan bunga api selama lebih kurang lima minit. Keesoknya kami telah berangkat pulang seawal jam tujuh pagi ke DQ.

Wednesday, September 24, 2008

Sesi fotografi AQRAB



Rabu, 24 September 2008 – Satu sesi fotografi ahli AQRAB bersama penasihat AQRAB iaitu Ustaz Mohd Zaki Bin Ibrahim telah dijalankan ketika peperiksaan akhir semester lima yang lepas. Sesi fotografi ini telah mendapat kerjasama daripada ustaz Muktashaf selaku bahagian ICT Darul Quran dan ustaz Buhairi bin Nawawi selaku PRO Darul Quran. Selama 2 minggu eksekutif fotografi Bit-info, Ustaz Muktashaf dan Ustaz Buhairi berbincang bersama bagi merealisasikan sesi fotografi ini. Buat pengetahuan pelajar semua, sesi fotografi ini adalah yang pertama di lakukan di Darul Quran dan untuk memuatkan 220 pelajar AQRAB dalam satu gambar bukan lah perkara yang mudah. Pada mulanya mereka berbincang untuk menjalankan sesi ini di hadapan Smartlab. kemudian disebabkan rasa tidak yakin untuk memuatkan dalam kamera, mereka menukarkan tempat di masjid. Mereka cuba untuk mencari posisi yang tepat dan menarik di masjid bagi menampung pelajar-pelajar ini . Ada juga dalam perbincangan mereka untuk mengunakan halaman depan asrama banin. Tapi akhirnya mereka bersepakat untuk menjalankan sesi fotografi di padang bola disebabkan kawasannya yang luas.kerisauan jelas terpancar dari wajah–wajah eksekutif fotografi kerana bimbang kurang komitmen dari pelajar-pelajar AQRAB. Kebetulan sesi tersebut diadakan pada jam 3petang dan ianya merupakan waktu rehat pelajar -pelajar. Namun, melihatkan kesungguhan pelajar banin yang datang beramai-ramai dengan berpakaian kemas dan banat yang datang awal ke dewan dengan senyuman yang tidak lekang di pipi akhirnya melegakan pihak eksekutif fotografi. Sekalung tahniah diucapkan kepada semua pelajar-pelajar aqrab yang terlibat dalam sesi fotografi ini.

Friday, August 29, 2008

Ustaz Zamri Zainuldin Berhenti


Salah seorang pensyarah Darul Quran, iaitu Ustaz Mohd. Zamri bin Zainuldin telah menamatkan perkhidmatannya di Darul Quran secara rasmi pada 29 Ogos. Beliau akan meneruskan kerja secara sendiri untuk menguruskan syarikatnya Mantop Consultancy Sdn Bhd sepenuh masa. Keputusannya untuk berhenti berkhidmat di Darul Quran agak mengejutkan bagi sesetengah pelajar, terutama sekali para pelajar semester lima yang sudahpun menjadikannya penyelia bagi membuat kertas kerja (tesis) masing-masing. Walau bagaimanapun, Ustaz Zamri dengan cerianya telah menyarankan agar mereka mencari penyelia yang lain setelah ketiadaannya di Darul Quran. Beliau juga tidak lokek memberikan nasihat kepada para pelajar sekiranya mereka memerlukan sebarang buah fikiran daripadanya, walaupun setelah beliau berhenti. Di kesempatan ini AQRAB ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Ustaz Zamri yang pernah menjadi pensyarah Bahasa Arab bagi kelas Nafi’, Khalaf al-’Asyir... Di samping itu, beliau juga telah mengendalikan kelas intensif Bahasa Arab yang telah diadakan secara mingguan bagi pelajar-pelajar yang berminat. Bagi pelajar-pelajar, janganlah terlampau bersedih atas pemergian beliau. Bak kata Ustaz Zamri sendiri, “Bukannya pergi meninggal pun…” Akhir kata, selamat maju jaya kepada Ustaz Zamri dan terima kasih atas segala jasa Ustaz kepada Darul Quran selama ini.

Tuesday, August 26, 2008

Setiausaha AQRAB akan ke Universiti Madinah

Baru-baru ini ahli AQRAB dikejutkan dengan berita tentang setiausaha AQRAB, saudara Abdul Rahman b. Zainal Abidin yang akan meninggalkan kita tidak lama lagi.
Berita yang masih menjadi teka-teki di kalangan ahli AQRAB akhirnya dirungkaikan secara rasmi oleh Pengerusi AQRAB, saudara Mohd Radhi dalam mesyuarat perwakilan AQRAB pada 26 Ogos 2008.
Saudara Abdul Rahman telah berjaya dalam permohonannya dan mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Madinah. Difahamkan bahawa beliau akan memulakan sesi pengajian di univesiti tersebut pada tahun ini juga iaitu selepas hari raya Aidilfitri.
Berikutan itu, beliau tidak sempat menghabiskan pengajian di Darul Quran dan Insya Allah akan menangguh sesi pengajian semester enam nya sahaja.
Dalam ucapan terakhirnya pada malam itu, beliau berkata, ini adalah impiannya sejak tamat sekolah menengah. Namun permohonan beliau hanya diluluskan pada tahun ini. Walaupun agak sukar membuat keputusan, beliau akhirnya memilih untuk menerima tawaran tersebut setelah mendapat petunjuk daripada Allah.
Apapun, kami mendoakan yang terbaik buat beliau. Semoga cita-cita beliau tercapai dan beliau menjadi seorang yang memberi manfaat kepada ummat sejagat.

Wednesday, August 20, 2008

Komputer Dihalalkan Akhirnya…

DARUL QURAN — Pelajar-pelajar semester lima tersenyum lega apabila pihak HEP mengeluarkan notis yang membenarkan penggunaan komputer peribadi di asrama pada 15 Ogos 2008 yang lalu.
Pelbagai rintangan terpaksa dihadapi oleh pihak perwakilan pelajar (PERKEMAT) dalam usaha mereka untuk memohon kelulusan daripada pihak HEP berkaitan hal ini.
Walau bagaimanapun, kebenaran tidak akan diberikan sewenang-wenangnya kepada pelajar. Sebaliknya, para pelajar wajib memohon kebenaran dengan menulis surat kepada pihak HEP, kemdian barulah diluluskan setelah pihak HEP mempertimbangkan permohonannya.
Jika sebelum ini ahli AQRAB sering saja dirundung kegellisahan setiap kali memikirkan soal latihan ilmiah (tesis) lantaran kekurangan komputer yang disediakan di perpustakaan serta smart lab, sekarang mereka boleh tersengih puas dan tidak perlu berebut untuk mendapatkan giliran untuk menggunakan komputer kerana mereka boleh menyiapkan kerja di dalam bilik sahaja.
Kita semua sepatutnya bersyukur atas nikmat dan peluang yang diberikan ini. Jangan pula ada yang menyalahgunakan komputer untuk melakukan perkara yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang Muslim (fikir-fikirlah sendiri). Beringatlah akibat daripada perbuatan seorang sahaja daripada kalangan kita boleh menyebabkan orang lain teraniaya.
Kami berterima kasih kepada PERKEMAT kerana bersusah payah memperjuangkan hak kami dan menjaga kebajikan kami; kepada HEP juga kerana memahami keadaan kami dan memberi peluang kepada kami; terima kasih Allah kerana memberi nikmat yang tidak putus-putus kepada hamba-hambaMu.

Sunday, August 10, 2008

Perlawanan Persahabatan DQ – UPSI


Pasukan Bola Sepak DQ Langkah Kanan

TANJUNG MALIM – Sesudah berjaya mengekalkan kejuaraan perlawanan bola sepak 9 sebelah dengan menumpaskan musuh tradisi iaitu Pasukan Bomba, mereka sekali lagi beraksi cemerlang serta mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang perlawanan persahabatan dengan pasukan bo;a sepak dari luar dan mangsa kali ini adalah pasukan bola sepak dari UPSI menjadi mangsa belasahan pasukan bola sepak kita dengan kemenangan besar 8-0 bertempat di padang bola UPSI.
Perlawanan persahabatan yang dibawah kelolaan saudara Anassyafiq dengan kerjasama Exco Laridasi PERKEMAT dan YDP MPP UPSI, saudara Abu Zaki ini telah berlangsung pada 3 Ogos 2008 yang lalu. Seramai 44 orang kontinjen yang telah mewakili DQ pada hari tersebut iaitu sebanyak 16 orang pemain untuk acara bola sepak, 10 orang bagi bola tampar, 6 orang masing-masing bagi acara badminton, takraw dan ping-pong.
Menurut saudara Anassyafiq, kedua – dua pihak telah bersetuju untuk meneruskan perlawanan persahabatan tersebut selepas hari raya aidilfitri berikutan para pelajar DQ sibuk mengulangkaji al-Quran dan madah lain bagi menduduki peperiksaan yang bermula pada 10 September depan.
Diharapkan para kontijen DQ dapat mengekalkan momentum pasukan-pasukan masing-masing dan sekalung tahniah dan syabas kerana telah mengharumkan nama Darul Quran.

Monday, July 21, 2008

KPP Pendaftar Baharu Darul Quran



DARUL QURAN — Mungkin masih ramai yang belum sedar akan kehadiran seorang Ketua Penolong Pengarah Pendaftar baharu di Darul Quran, iaitu Ustaz Haji Abdul Kodir bin Sallah. Oleh itu, baru-baru ini wartawan Up to the Minute telah mengatur sebuah pertemuan dengan beliau untuk mengenali beliau dengan lebih dekat.
Ustaz Haji Abdul Kodir berusia 52 tahun dan merupakan anak sulung daripada enam orang adik-beradik. Anak kelahiran Kedah ini telah dikurniakan tujuh orang anak. Ustaz Haji Abdul Kodir telah mendapat pendidikannya di Sekolah Menengah Agama Makarimul Akhlak, Langgar, serta Sekolah Raudhatul Ulum, Langgar. Kemudian, beliau melanjutkan pengajiannya di Yayasan Pengajian Islam Tinggi Kelantan, seterusnya di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, di mana beliau berjaya memperoleh ijazah sarjana muda dalambidang Syariah dan Usuluddin. Beliau juga mempunyai Sijil kefatwaan Darul Iftak daripada Universiti Al-Azhar, Mesir.
Sebelum ditugaskan di Darul Quran, Ustaz Haji Abdul Kodir merupakan Ketua Penolong Pengarah (KPP) Bahagian Undang-undang Syariah di Jabatan Agama Islam Melaka dari 2006 sehingga 2008. Beliau juga pernah menyadang jawatan pengetua di IKMAS, serta pernah berkhidmat di BAHEIS dalam bidang dakwah.
Apabila ditanya tentang perasaanya ketika mula-mula ditugaskan di sini, beliau berkata bahawa beliau berasa amat gembira kerana bidang pendidikan di Darul Quran amat bersesuaian dengan bidang yang diceburinya.
Ustaz Haji Abdul Kodir juga mempunyai aspirasi yang tinggi untuk Darul Quran serta para pelajarnya. Beliau berharap agar para pelajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan. Katanya, “Harapan ustaz agar lebih ramai lagi yang mencapai imtiyaz pada tahun ini dan akan datang.” (Ingat tu, AQRAB! Sahut cabaran!) Oleh yang demikian, para pelajar hendaklah membuat persediaan dari sekarang.
Ustaz Haji Abdul Kodir juga telah memberi ulasan positif mengenai penerbitan Up to the Minute (UTTM). Katanya, “(UTTM merupakan) suatu idea yang bagus kerana melalui UTTM ini, (kita) dapat tahu apa yang berlaku dalam semester AQRAB.” Katanya lagi, “Cadangan daripada ustaz agar UTTM diberi kepada orang-orang penting Darul Quran. Dan untuk keluran akan datang cuba untuk temubual pelajar-pelajar yang cemerlang dalam konvokesyen tahun ini.”

Sunday, July 20, 2008

Program Bersama Orang Asli


DENGKIL, BANTING – Pada cuti semester yang lepas, pastinya ramai pelajar yang pulang ke kampung halaman untuk melepaskan rindu pada keluarga namun ada teman- teman kita yang terpaksa memendekkan cuti untuk mengikuti program yang dianjurkan oleh unit dakwah JAKIM bersama dengan penduduk orang asli Bukit Serdang, Dengkil di daerah Banting selama 3 hari iaitu pada 11,12 dan 13 Julai. Seramai 40 orang pelajar Darul Quran telah terlibat dalam program ini dan 14 daripadanya adalah pelajar AQRAB.
Program ini dinamakan sebagai “Program Ramah Mesra dan Sukaneka Bersama Penduduk Kampung Orang Asli”. Bersesuaian dengan tema tersebut, para pelajar perlu membina hubungan mesra dengan penduduk lebih-lebih lagi dengan keluarga angkat masing-masing. Ini merupakan satu wasilah dakwah bil hal bagi menarik mereka kepada agama Islam. Terdapat 10 keluaga yang terlibat dan 3 daripadanya merupakan keluarga bukan Islam.
Untuk makluman pembaca, lokasi penempatan mereka adalah di ladang kelapa sawit. Infrasruktur di sini memuaskan walaupun ada persekitaran yang kotor dan terdapat beberapa buah rumah yang tiada bekalan api dan air. Walaubagaimanapun, surau dan dewan serbaguna telah disediakan untuk kemudahan penduduk. Semoga kehadiran para peserta dapat menyampaikan kandungan Islam yang sangat menitikberatkan kebersihan kepada penduduk. Tahniah diucapkan kepada Mohd Azan bin Safar dan Zuraidah bt. Zainuddin yang telah mengetuai rombongan ini. Walaupun tentatif selalu berubah bermula dari taklimat pertama di Darul Quran hinggalah sampai di sana dan menerima kritikan, itu semua merupakan asam garam kehidupan sebagai pendakwah dan menjadi iktibar bagi kita semua untuk melakukan yang terbaik pada masa akan datang.

Wednesday, July 2, 2008

Lawatan Pelajar Dakwah ke Parlimen


KUALA LUMPUR – Pada 2 Julai, seramai 75 orang pelajar semester lima syukbah Dakwah,iaitu yang terdiri daripada 28 orang banat dan 47 orang banin telah mengadakan lawatan ke Parlimen. Program lawatan yang diberi nama ”Hikmah Kembara” ini telah diiringi oleh dua orang ustazah iaitu Ustazah Zarina bt Ghazali dan Ustazah Nazatturaha bt Dahalan, serta seorang ustaz yang tidak cukup asing lagi iaitu Ustaz Zamri Zainuldin. Guru penasihat bagi program ini ialah Ustaz Ahmad Bohairi b. Nawawi selaku pensyarah madah Pengucapan Dakwah.

Para pelajar berkumpul di dataran masjid seawal jam 10.15 pagi sebelum bertolak ke Parlimen pada jam 10.30 pagi. Selaku pengarah program, Saudara Mohd Radhi Mohd Noh yang dibantu oleh timbalannya iaitu Saudari Rohimah Abd Rahman, sentiasa memastikan setiap gerak kerja berjalan dengan lancar. Akhirnya, rombongan tida di destinasi pertama yang dituju pada jam 12.00 tengahari.

Sekalipun terpaksa berjalan agak jauh menuju ke bangunan Parlimen, namun itu tidak mematahkan semangat berkobar-kobar para pelajar untuk melihat sendiri ahli-ahli Parlimen bersidang. Ketika melangkah masuk ke Dewan Rakyat, terasa satu aura yang berbeza kerana yang hadir di dalamnya adalah di kalangan wakil-wakil rakyat serta orang-orang kenamaan. Pastinya terasa agak janggal bagi para pelajar kerana inilah kali pertama mereka melangkah ke dalam Dewan Rakyat. Antara yang dapat dilihat hadir ketika itu ialah, Dato’ Khairy Jamaluddin, YB Nurul Izzah bt Anwar, Dato’ Mahfuz Omar dan ramai lagi.
Suasana di dalam Dewan Rakyat agak hangat dengan perdebatan antara YB-YB. Mungkin inilah saat-saat yang ditunggu-tungu oleh mereka yang sentiasa mengikuti persidangan parlimen. Isu yang hangat dibincangkan ialah tentang isu kenaikan harga minyak. Tepat jam 1.00 petang, persidangan ditangguhkan. Selesai sahaja persidangan tersebut, para pelajar telah dibawa ke Dewan Negara untuk mendengar sedikit taklimat ringkas daripada Encik Mohd. Faizal selaku jurubahasa di Parlimen.

Sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi yang kedua iaitu Pusat Sains Negara, para pelajar telah singgah di Masjid Wilayah untuk menunaikan solat zuhur. Kedatangan mereka ke Masjid Wilayah telah disambut mesra oleh Ustazah Fathiah. Pastinya, inilah saat-saat paling menyeronokkan bagi mereka (lebih kurang macam jejak kasih). Untuk pengetahuan semua, program lawatan ini merupakan idea asal daripada ustazah sendiri. Ustazah Fathiah merupakan pensyarah dakwah pada semester empat yang lepas tetapi telah ditukarkan ke JAWI.

Seterusnya, bas rombongan menuju ke Pusat Sains Negara. Perjalanannya tidaklah mengambil masa yang lama dan akhirnya tiba lebih kurang jam 3.30 petang. Di sana, para pelajar berpeluang melihat pelbagai barang yang dipamerkan. Berjalan seolah-olah berada di dasar laut yang dipenuhi dengan pelbagai jenis ikan pastinya memukau mereka yang pertama kali menjejakkan kaki ke Pusat Sains Negara. Setelah hampir satu jam setengah berada di dalam kawasan tersebut, arahan diterima daripada pengarah program untuk bertolak balik ke Darul Quran. Bas tiba di Darul Quran lebih kurang jam 8.30 malam.

Sekalipun jelas tergambar keletihan dikalangan mereka, namun kegembiraan bertemu ustazah kesayangan pastinya tidak dapat dilupakan. Paling penting, ilmu yang diperolehi di Parlimen sedikit sebanyak menambah thaqofah dikalangan mereka. Semestinya ada yang berazam untuk berucap di dewan Parlimen tersebut dan seterusnya mengubah corak pentadbiran negara satu hari nanti. Tahniah diucapkan kepada koordinator-koordinator yang telah bertungkus-lumus menjayakan program lawatan ”Hikmah Kembara” ini.

Tuesday, June 24, 2008

Malam Gala Gemilang AQRAB 2008


DARUL QURAN — Setelah beberapa kali ditangguhkan dan ditukar nama, akhirnya pada 23 Jun 2008, ahli AQRAB digemparkan dengan berita yang mengejutkan. Malam Gala Gemilang akan diadakan pada malam itu juga. Mujur pada hari itu (Isnin), kelas tidaklah padat seperti hari-hari biasa.
Selepas kelas, barisan perwakilan AQRAB dan AJK Malam Gala Gemilang dengan bertungkus-lumus menyediakan persiapan untuk Malam Gala Gemilang AQRAB. Bagi ahli-ahli AQRAB yang lain, tidak kurang juga sibuknya mengemaskan lagi baju semester yang akan dipakai pada majlis malam itu, kiranya sentuhan-sentuhan akhir untuk persiapan.
Tepat pada jam 9.15 malam, ahli-ahli AQRAB sudah pun berkumpul di dalam Auditorium Sheikh Mohd Nor. Buat pertama kalinya, ahli AQRAB menghadiri majlis AQRAB dengan baju semester masing-masing. Banat lengkap berbaju dan tudung serba hijau yang warnanya seakan-akan kerusi di Auditorium, manakala banin mengenakan jubah serba coklat yang telah diimport dari Madinah/Mekah. Kehadiran ahli AQRAB bolehlah dibanggakan. Walaupun ada juga ahli yang tidak dapat hadir, majlis tetap berjalan dengan meriah.
Majlis dimulakan dengan al-Fatihah supaya majlis yang diadakan dengan tujuan untuk merapatkan ukhwah sesama ahli diberkati Allah. Majlis telah dipengerusikan oleh saudara Mohd Noorhiqmy bin Ahmad Tuah. Selepas itu ahli dewan mendengar ucapan dari penasihat AQRAB iaitu Ustaz Mohd Zaki bin Ibrahim, kemudian ucapan dari YDP diikuti pula dengan ucapan ketua AQRAB iaitu saudara Mohd Radhi bin Mohd Noh. Seterusnya dihidangkan persembahan tayangan perwakilan AQRAB bagi menyerikan lagi majlis pada malam itu.
Waktu yang ditunggu-tunggu pun tiba iaitu slot pembahagian hadiah bagi yang bertuah. Antara anugerah-anugerah yang diwujudkan ialah Anugerah Jasamu Dikenang, iaitu hadiah bagi mantan-mantan perwakilan dan ketua kelas. Ada juga Anugarah Mujahadah, Anugerah Paling Ceria, Anugerah Serbaboleh, Anugerah Lonjakan Saujana serta Anugerah Olahragawan dan Olahragawati. Pemenang-pemenang bagi kesemua anugerah tersebut telah dicalonkan oleh ahli AQRAB sendiri.
Selepas itu tayangan khas untuk Malam Gala Gemilang hasil oleh Bit-Info amat menggemparkan serta mengharukan auditorium. Majlis berakhir pada pukul 11.00 malam. Masing-masing puas hati dengan majlis pada malam itu. Ini dapat dilihat pada wajah masing-masing dengan senyuman yang terpancar di muka.

Wednesday, June 18, 2008

Lawatan AJK Perpustakaan


DARUL QURAN — 17 Jun 2008, satu lawatan bertempat di KUIS dan ILIM telah disertai seramai 28 orang pelajar banin dan banat termasuk 7 orang AJK Perpustakaan serta diiringi Pustakawan dan Pembantu Pustakawan Darul Quran sendiri.
Walaupun sedikit terkilan dengan kerenah pemandu bas yang terkeliru dengan masa bertolak dari Darul Quran tetapi alah bisa tegal biasa. Kami disambut mesra dan diberikan layanan yang istimewa terutamanya dari pihak Pustakawan KUIS. Ribuan terima kasih buat Encik Zafril dan dua orang Pustakawan yang penulis terlupa namanya yang sabar dan tidak jemu menjawab pertanyaan – pertanyaan daripada ahli-ahli rombongan. Lawatan ini merupakan yang kedua kalinya dibawah Perpustakaan Darul Quran sekitar 2001. Ternyata sistem yang digunapakai di KUIS lebih keterhadapan berbanding Perpustakaan Darul Quran seperti Sistem Virtua , penggunaan sistem komputer sepenuhnya dalam urusan pinjaman dan penkatalogan buku – buku serta sistem bar kod bagi mencegah masalah kehilangan dan kecurian buku. Namun kerana alasan peruntukan masih lagi tidak mencukupi dan diminta terus menanti peruntukan yang masih tiada jawapan hingga kini membuatkan Perpustakaan Darul Quran agak ketinggalan kerana masih lagi menggunakan sistem manual sepenuhnya dalam penkatalogan buku- buku walaupun sudah puas disuarakan oleh Pembantu Pustakawan Darul Quran sejak dari beliau memulakan khidmat di sini.
Para pelajar juga berpeluang berjumpa dengan sahabat handai mereka dari sekolah masing-masing yang sedang melanjutkan pelajaran di KUIS selama hampir tiga jam berada di sana.
Tepat jam 2:15 minit petang, anggota rombongan bergegas bertolak menuju ke ILIM. Setelah disajikan sedikit jamuan dan minuman petang serta bergambar di sekitar perkarangan ILIM seterusnya kami bertolak pulang dan sampai di perkarangan Darul Quran sekitar jam 5:30 petang. Walaupun letih jelas kelihatan di riak wajah ahli-ahli rombongan namun objektif lawatan ini tercapai dengan jayanya.
Diharapakan program lawatan ini dapat diteruskan lagi di masa akan datang.

Saturday, June 14, 2008

Rehlah AQRAB



Santuary River, Taman Tanjak — Pada 14 Jun yang lalu, Biro Reda-C (Riadah & Rekreasi) AQRAB telah menganjurkan suatu program rehlah bersama warga AQRAB bertempat di Santuary River Taman Tanjak. Program tersebut dihadiri oleh hampir 90 orang ahli daripada 127 ahli AQRAB kesemuanya. Walaupun jumlah penyertaan amat mendukacitakan sehingga pengarah program iaitu saudara Mujahid bin Dahari (perwakilan Reda-C) turut menyelar sikap kebanyakan ahli AQRAB yang masih tidak mahu komited dengan program anjuran AQRAB, namun situasi tersebut tidak sedikit pun menghalang program tersebut mencapai objektifnya.
Motif diadakan program ini adalah untuk mengeratkan ukhwah di antara ahli-ahli semester. Selaku ketua pengarah untuk program ini, saudara Mohd Noorhiqmy telah merencanakan banyak aktiviti seperti sarapan pagi bersama, muhasabah semester, BBQ dan sukaneka. Program ini turut diserikan dengan kehadiran penasihat AQRAB, Ustaz Zaki bin Ibrahim ketika warga AQRAB sibuk memanggang ayam masing-masing. Program ini telah berakhir pada pukul 2.30 petang.
Uniknya, program ini secara julung kalinya telah diadakan oleh pihak REDA-C AQRAB di luar kampus Darul Qur’an. Ribuan terima kasih diucapkan kepada ajk-ajk dan semua warga AQRAB yang terlibat dan memberikan sepenuh komitmen dalam menjayakan rehlah kali ini. Moga antum semua menjadi huffaz yang berkualiti di masa hadapan kelak .

Saturday, June 7, 2008

Liga di UPM


UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA — Pada 7 Jun 2008 yang lalu, pasukan bola sepak Darul Quran yang rata-ratanya tediri daripada warga AQRAB telah dijemput untuk menyertai sebuah kejohanan bola sepak anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), bertempat di padang Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang.
Seawal 6.30 pagi lagi, para pemain telah berkumpul di dataran asrama dan bertolak ke UPM. Perjalanan mengambil masa selama dua jam untuk tiba di UPM. Setelah mendengar taklimat kejohanan daripada pihak penganjur, para pemain bersiap sedia untuk memulakan permainan sekaligus berazam untuk mempertahankan status selaku juara bertahan. Pasukan Darul Quran yang menggunakan nama Darqis United telah berjaya mengharungi perlawanan-perlawanan yang begitu sukar dan sengit untuk sampai ke perlawanan akhir. Dalam perlawanan tersebut, pasukan Darqis United telah dijadualkan bertemu sebuah pasukan dari Gombak yang memang terkenal dengan corak permainannya yang laju dan berbahaya. Sebelum perlawanan bermula, semua pemain mendengar sedikit kata-kata semangat dan perangsang dari jurulatih iaitu Ustaz Nazri dan juga pengurus pasukan iaitu saudara Anas Shafiq.
Antara warga AQRAB yang menjadi pemain dalam perlawanan tersebut ialah Mujahid, Hazwan, Hafis, Hiqmy, Halim, Harith, Zaini, dan Shaiful. Perlawanan yang disaksikan oleh lebih kurang 100 orang penonton itu begitu menarik dan juga sengit dengan serangan-serangan dari kedua-dua pasukan. Akhirnya pasukan Darqis United telah berjaya memenangi perlawanan tersebut hasil jaringan Zaini pada minit-minit terakhir permainan.
Pengurus pasukan, saudara Anas begitu gembira sekali dengan kejayaan pasukan Darqis United menjuarai kejohanan buat kali ketiga berturut-turut. Upacara penyampaian hadiah telah dijalankan pada petang itu juga dengan para pemain mendapat medal dan hamper. Ustaz Nazri selaku jurulatih pasukan telah membuat sedikit jamuan untuk para pemain sebagai menghargai kesungguhan para pemain dalam mempertahankan kejuaraan kejohanan tersebut sekaligus telah mengharumkan nama Darul Quran. Semoga pada masa yang akan datang, pasukan ini akan terus mengungguli kejayaan demi kejayaan, berkat kesungguhan dan komitmen daripada semua pihak.

Tuesday, May 27, 2008

Pelantikan Perwakilan Pelajar Luar Negara

DARUL QURAN — Dalam sebuah pertemuan antara para pelajar luar negara dengan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) pada 27 Mei, Bahagian HEP telah menubuhkan suatu organisasi perwakilan yang khusus untuk para pelajar luar negara yang menuntut di Darul Quran.
Di dalam mesyuarat tersebut, pihak HEP telah melantik saudara Awangku Fairuz Zakry bin Pangiran Haji Rosley (AQRAB) sebagai ketua perwakilan dan saudari Noorimi binti Mohd Salimi (AQRAB) sebagai timbalan ketua bagi perwakilan-perwakilan pelajar luar negara.
Perwakilan juga telah dilantik bagi mewakili setiap semester dan hampir setiap negara. Buat pengetahuan para pelajar, di Darul Quran kini terdapat 23 orang pelajar dari Brunei Darussalam, 8 orang dari Singapura, 3 orang dari Thailand, serta 2 orang dari Kemboja.
Tujuan pelantikan tersebut adalah untuk memudahkan apa-apa urusan rasmi dan sebagainya yang perlu dilaksanakan sepanjang para pelajar berada di Darul Quran. Semoga hubungan antara para pelajar AQRAB khususnya dan warga Darul Quran umumnya terus erat tanpa mengira bangsa dan negara.

Sunday, April 6, 2008

Pengalamanku

Oleh: Muhammad Ashraf Ehtesham Bin Yunus.

Muhammad Ashraf Ehtesham Bin Yunus, merupakan anak kelahiran Perlis. Beliau adalah pelajar syukbah Qiraat (kelas Hamzah). Beliau merupakan salah seorang pelajar yang mengikuti rombongan ke tanah suci untuk menghadiri muqobalah di Universiti Islam Madinah tempohari.

Keresahan dan kebosanan jelas terpancar diwajah kami 16 orang pelajar Darul Quran dan seisi ahli keluarga Hilmi Abu Bakar yang turut serta menemani mengerjakan umrah. Kelewatan penerbangan yang sepatutnya berlepas jam 16:45 petang terpaksa ditangguhkan berikutan masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan. Akhirnya setelah hampir 7 jam menunggu, pada pukul 23:30 malam kami mendapat panggilan untuk berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Jinnah Karachi menggunakan Penerbangan Antarabangsa Pakistan ( PIA ) untuk transit sebentar beberapa jam meneruskan perjalanan ke Jeddah.
Jam menunjukkan pukul 2 pagi waktu tempatan pada 26 Mac tatkala kami melangkah keluar dari pesawat PIA dengan selamat. Tanpa melengahkan waktu, kami terus menuju ke Airport Hotel yang mengambil masa lima minit jarak perjalanan. Sedang menunggu giliran van untuk ke sana, penulis merasa kagum melihat ramai penduduk Pakistan dengan bangga menyaluti tubuh mereka dengan kurta atau dalam bahasa ibunda mereka di sesetengah tempat sebagai ‘peshto’. Dari yang bekerja dari sebagai kontraktor jalanan mahupun perumahan, pemandu kenderaan awam, peniaga di deretan jalan raya kecuali yang bekerja di sektor kerajaan.
Pada kesempatan bersiar–siar beberapa jam di bandar Karachi untuk kali pertama, penulis dapat menyimpulkan bahawa jurang perbezaan taraf kehidupan antara golongan miskin dan kaya amatlah ketara. Selain itu, membunyikan hon semasa memandu merupakan satu kebiasaan di sini. Penulis sendiri kurang pasti dan berdoa di dalam hati berkali-kali agar tidak terlibat dengan nahas di jalan raya. Alhamdulillah penulis masih dipanjangkan hayat, kerana itu anda dapat membaca coretan ini; kerana yang pastinya bukan hantu pocong yang menukilkannya, hehehe.
Walaupun tampak tidak sistematik, namun amat jarang sekali berlaku kemalangan di sini. Pembangunan giat dijalankan, namun terdapat banyak juga kesan bangunan yang rosak akibat pengeboman. Walaupun kurang selesa kerana terpaksa berasak-asak ketika menaiki teksi yang sudah menjadi kebiasaan bagi penduduk di sana, namun perkara tersebut tidak menjadi halangan untuk kami berasa teruja dan seronok selama beberapa jam bersiar-siar.
Kami tiba tiga jam lebih awal di Lapangan Terbang Antarabangsa Jinnah, Karachi setelah bersetuju untuk memakai kain ihram di sini. Ketika penulis dan beberapa orang rakan masuk ke tandas untuk menyalin pakaian, terdapat seorang pekerja di situ dengan ‘mesra’ menghulurkan sehelai tisu kepada kami setelah mengambil wudhuk. Namun apa yang menjengkelkan kami, dia ingin meminta tip atau upah dari layanan yang diberikan kepada kami. Tercengang pada mulanya, namun kami tidak mahu melayan kerenahnya kerana masing-masing sudah arif dengan gelagat pekerja di sini.
Agak melucukan apabila seorang kawan penulis tertukar kain ihram dengan dua helai tuala putih semasa kami menginap di Airport Hotel. Namun ini mungkin kesilapan penulis juga kerana pernah terpakai kain ihram tersebut yang disangkakan penulis sebagai tuala.
Kawan penulis bernasib baik kerana Pak Cik Abu Bakar sudi meminjamkan kain ihram beliau kepadanya. Setelah selesai urusan pemeriksaan tiket dan pasport, tanpa sebarang kelewatan kami meneruskan perjalanan dari Karachi menuju ke Jeddah yang mengambil masa kira-kira lima jam perjalanan.
Setelah berniat miqat di atas kapal terbang, pesawat kami akhirnya selamat mendarat di Lapangan Terbang Raja Fahd, Jeddah kalau tidak salah penulis pada jam 9 malam bersamaan 26 Mac serta disambut mesra wakil KRS Travel. Destinasi diteruskan menuju ke Makkah dengan menaiki bas. Kesempatan yang ada digunakan penulis untuk melelapkan mata sebentar kerana kepenatan ditambah pula dengan peralihan waktu yang ditempuhi sepanjang perjalanan.
Kami tiba di perkarangan bangunan Hotel Ufuk Fateh, hotel kos sederhana yang terletak 300 meter sahaja dari Masjid Al-Haram. Kami akan tinggal di Makkah selama tiga hari sebelum menuju ke Madinah untuk urusan temuduga kemasukan pelajar baru di Universiti Islam Madinah. Tanpa melengahkan masa penulis bersama 20 orang anggota rombongan yang lain terus berjalan menuju ke Masjid Al-Haram.
Amat menakjubkan, masjid yang menjadi kiblat umat Islam di seluruh pelusuk dunia ini tidak pernah sepi daripada kunjungan orang ramai yang sentiasa berpusu-pusu memenuhi perkarangan masjid untuk melakukan pelbagai aktiviti ibadah yang dilipatgandakan ganjarannya oleh Allah walaupun pada pukul satu pagi waktu di sini. Penulis memanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana tidak ditutupi pandangan daripada melihat kaabah. Gusar hati ini kerana terkesan dengan cerita kawan penulis yang mengatakan terdapat juga kejadian individu yang tidak diizinkan Allah untuk melihat Kaabah dari kaca mata sendiri. Dipimpin seorang mutawwif, kami alhamdulillah selesai mengerjakan ibadah umrah pertama pada jam tiga pagi.
Sejam sebelum azan subuh berkumandang digunakan anggota rombongan dan penulis untuk membersihkan diri dan berehat sebentar sebelum menuju ke masjid. Usai solat subuh di hadapan Kaabah, penulis turut mengerjakan solat jenazah bersama jemaah yang lain. ‘Thoriq ya Haji! / Thoriq ya Hajjah!’ adalah perkataan yang sering kedengaran di sini untuk membuka laluan bagi individu-individu yang mengusung mayat setelah sempurna disolatkan dan bagi mereka yang duduk di tepi tangga masjid.
Fajar subuh mula menyinsing pada pukul enam pagi. Suasana perniagaan di luar perkarangan Masjid Al-Haram amat meriah dengan gelagat penjual yang bukan warganegara Arab Saudi yang datang dari Pakistan, Bangladesh, Afrika, Yaman, Indonesia dan pelbagai negara lagi yang tidak penulis ketahui. Harga yang ditawarkan agak murah dan berpatutan mengikut kualiti barangan yang dijual.
Kualiti udara di Makkah pada masa itu agak kotor dan berdebu terutama yang berdekatan dengan sekitar masjid kerana aktiviti pengubahsuaian dan pembinaan untuk meluaskan kawasan masjid bagi menampung kapasiti jemaah yang semakin bertambah dari masa ke semasa. Banyak pintu utama seperti Bab Al-Salam serta Bab Al-Umrah ditutup untuk tujuan tersebut dan tidak ketinggalan hotel-hotel sekitar masjid yang akan digantikan dengan hotel-hotel yang mencakar langit dan berkos taraf lima bintang. Kami difahamkan, pembinaan ini sudah dimulakan sejak berakhirnya musim haji yang lalu.
Kulit di kaki dan di bibir mula merekah dan penulis tidak terkecuali hingga mengalami pendarahan akibat tempias suhu cuaca yang panas kering tanpa lindungan awan. Usai solat, penulis tidak akan lupa untuk meneguk tiga hingga empat gelas kecil air zam-zam di Masjid Al-Haram bagi mengelakkan proses dehidrasi yang melampau. Pada waktu solat maghrib, isyak dan subuh, penulis lebih suka datang awal untuk solat di hadapan Kaabah. Terasa satu kepuasan jika dapat menatap Kaabah dengan jarak yang lebih dekat malah memerhatikannya sahaja bukan sahaja mendapat pahala malahan mendamaikan jiwa yang lara.
Cuti umum bagi negara Arab Saudi adalah pada hari khamis dan jumaat. Oleh itu, tidak hairanlah jika penduduk yang sememangnya warganegara di sini mengambil kesempatan untuk mengunjungi Masjid Al-Haram untuk melakukan amal ibadat.Adalah satu kesilapan besar bagi mereka yang sesuka hati meletakkan kenderaan di bahu jalan walaupun seminit pada hari jumaat kerana para pekerja kereta tunda akan mengangkat kenderaan yang didapati bersalah menghalang kelancaran jalan raya. Ramai peniaga menutup kedai-kedai mereka untuk membolehkan mendapat tempat yang selesa semasa solat jumaat nanti. Malahan ada yang sudah datang beriktikaf di masjid seawal jam 10 pagi lagi. Peluang mendengar Imam terkenal iaitu Syeikh Abd Al-Rahman Al-Sudaisy mengalunkan bacaan surah al-quran pada solat subuh dan menjadi khatib pada hari jumaat secara langsung tersebut merupakan antara kenangan yang sukar dilupakan penulis termasuk anggota rombongan yang lain. Di sini, jemaah wanita turut serta berpusu-pusu datang pada hari jumaat untuk solat jumaat secara berjemaah bersama jemaah lelaki yang lain. Satu fenomena yang jarang-jarang dapat di lihat di negara kita.
Setelah sempurna mengerjakan tawaf widak, kami meneruskan perjalanan ke kota Madinah pada lewat pukul tiga petang. Perjalanan jauh yang boleh diibaratkan menempuh pengembaraan dari kuala lumpur ke kelantan jaraknya. Sepanjang perjalanan, rasa pening-pening lalat dan loya perut membuat kami berasa tidak selesa dan mengharap agar cepat sampai ke destinasi yang ditujui. Kami banyak disajikan dengan panorama padang pasir dan bukit-bukau yang kering kontang bersama pokok kaktus sepanjang perjalanan.
Maghrib hampir menjelang dan mentari mula memancarkan cahaya merah jingga.Langit malam hampir berlabuh, lantas pemandu bas kami memutuskan untuk berhenti solat di sebuah kawasan rehat di situ. Rasa dingin mula mencengkam tubuh hingga ke tulang sum-sum. Penulis mula merasa menyesal kerana tidak membawa baju sejuk sebgai perisai perlindungan tubuh. Penulis difahamkan seorang bekas pelajar Darul quran yang merupakan senior penulis ketika kami bertemu di masjid sehari sebelum bertolak ke Madinah bahawa Arab Saudi baru sahaja usai musim sejuk dan sedang dalam peralihan musim panas. Sangkaan penulis ternyata meleset kerana angin pada malam itu mampu membuatkan penulis jatuh sakit. Hanya berbekalkan kain ihram diharapkan dapat memanaskan tubuh sementara sampai ke kota madinah.
Terkejut dan rasa tidak percaya melihatkan tahap kebersihan tandas dan sistem kumbahan yang terdapat di situ hampir membuatkan kami loya namun digagahkan jua diri kerana perjalanan masih jauh. Bukan ingin mengkritik membabi buta tetapi pada pandangan penulis sistem kumbahan dan tahap kebersihan yang ditawarkan di negara kita jauh lebih baik berbanding di kawasan rehat di sini. Ketika tiba giliran penulis untuk mengambil wudhuk, penulis agak terkial-kial menggunakan pili air di situ kerana sekali tekan maka sedikit air sahaja akan mencurah keluar. Hairan kerana memerhatikan pili yang digunakan anggota jemaah yang lain tidak begitu. Gelagat penulis yang sudah lama diperhatikan orang arab Badwi di situ ditegur dengan amarah. Penulis tiak dapat menangkap dan memahami keseluruhan isi butirnya namun penulis faham dia marah kerana beranggapan penulis sengaja membazirkan air yang nilainya lebih mahal dari petroleum mahupun diesel.
Akhirnya kami tiba di jua di kota Madinah lewat malam. Suasana di sini amatlah berbeza dengan jaringan jalan raya yang sistematik, kedudukan bangunan yang tersusun,suhu yang agak sejuk dan kualiti udara yang baik dan segar berbanding ketika di Makkah. Boleh diibaratkan kehidupan penduduk di kota ini seperti taraf hidup di Kuala Lumpur. Kami menginap di sebuah hotel bernama Abrar Salam ataupun Zuwar Salam yang tidak jauh dari Masjid Nabawi yang jelas kelihatan.
Keesokan harinya kami 16 orang pelajar Darul Quran akan bertolak menuju ke Universiti Islam Madinah untuk menghadiri sesi temuduga. Dengan diiringi dua orang bekas pelajar Darul Quran yang sedang menuntut di universiti tersebut, kami bertolak menaiki kenderaan sewa dengan bayaran Rs 30 .
Lengkap berpakaian jubah putih dan selipar, kami melangkah dengan rasa teruja kerana dapat menjejakkan kaki di universiti. Sesi temuduga berjalan dan kami sempat bertanya khabar dengan bekas-bekas pelajar Darul Quran yang sedang melanjutkan pelajaran di sini.
Kami berkesempatan menziarahi beberapa tempat yang bersejarah dan menarik seperti Masjid Qiblatain, Jabal Uhud, Ladang Kurma dan Kompleks Percetakan Al-Quran. Rombongan kami bertolak meninggalkan kota Madinah usai solat zohor dan berkempatan menunaikan ibadah umrah buat kali kedua semasa berniat miqat di Bir Ali. Makkah bertambah meriah dengan kehadiran jemaah seperti dari Turki, Indonesia, India, Pakistan.
Tiga hari terakhir yang masih bersisa kami gunakan sebaik-baiknya untuk melakukan ibadah, menunaikan umrah buat kali terakhir selepas menziarahi beberapa buah destinasi seperti Jabal Thur, ladang unta, Muzium Kaabah sebelum bertolak pulang meninggalkan Makkah pada 3 April. Kami juga berkesempatan melawat Masjid Terapung di Jeddah sebelum berlepas setelah dilewatkan dua jam masa perjalanan menuju ke Karachi untuk transit beberapa jam sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur.
Pada 5 April, rombongan kami selamat tiba di perkarangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur walaupun pesawat yang dinaiki oleh kami pada mulanya terpaksa ditukar dengan pesawat yang lain akibat masalah kerosakan. Kami bersyukur kerana dapat menyempurnkan ibadah umrah dan menunaikan hasrat ibu-bapa masing-masing untuk menghadiri sesi temuduga. Kenangan semasa berada di Karachi, Makkah dan Madinah menerpa kembali namun masing-masing berazam untuk kembali lagi melihat tempat bermula berkembangnya sinar Islam.