Wednesday, July 2, 2008

Lawatan Pelajar Dakwah ke Parlimen


KUALA LUMPUR – Pada 2 Julai, seramai 75 orang pelajar semester lima syukbah Dakwah,iaitu yang terdiri daripada 28 orang banat dan 47 orang banin telah mengadakan lawatan ke Parlimen. Program lawatan yang diberi nama ”Hikmah Kembara” ini telah diiringi oleh dua orang ustazah iaitu Ustazah Zarina bt Ghazali dan Ustazah Nazatturaha bt Dahalan, serta seorang ustaz yang tidak cukup asing lagi iaitu Ustaz Zamri Zainuldin. Guru penasihat bagi program ini ialah Ustaz Ahmad Bohairi b. Nawawi selaku pensyarah madah Pengucapan Dakwah.

Para pelajar berkumpul di dataran masjid seawal jam 10.15 pagi sebelum bertolak ke Parlimen pada jam 10.30 pagi. Selaku pengarah program, Saudara Mohd Radhi Mohd Noh yang dibantu oleh timbalannya iaitu Saudari Rohimah Abd Rahman, sentiasa memastikan setiap gerak kerja berjalan dengan lancar. Akhirnya, rombongan tida di destinasi pertama yang dituju pada jam 12.00 tengahari.

Sekalipun terpaksa berjalan agak jauh menuju ke bangunan Parlimen, namun itu tidak mematahkan semangat berkobar-kobar para pelajar untuk melihat sendiri ahli-ahli Parlimen bersidang. Ketika melangkah masuk ke Dewan Rakyat, terasa satu aura yang berbeza kerana yang hadir di dalamnya adalah di kalangan wakil-wakil rakyat serta orang-orang kenamaan. Pastinya terasa agak janggal bagi para pelajar kerana inilah kali pertama mereka melangkah ke dalam Dewan Rakyat. Antara yang dapat dilihat hadir ketika itu ialah, Dato’ Khairy Jamaluddin, YB Nurul Izzah bt Anwar, Dato’ Mahfuz Omar dan ramai lagi.
Suasana di dalam Dewan Rakyat agak hangat dengan perdebatan antara YB-YB. Mungkin inilah saat-saat yang ditunggu-tungu oleh mereka yang sentiasa mengikuti persidangan parlimen. Isu yang hangat dibincangkan ialah tentang isu kenaikan harga minyak. Tepat jam 1.00 petang, persidangan ditangguhkan. Selesai sahaja persidangan tersebut, para pelajar telah dibawa ke Dewan Negara untuk mendengar sedikit taklimat ringkas daripada Encik Mohd. Faizal selaku jurubahasa di Parlimen.

Sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi yang kedua iaitu Pusat Sains Negara, para pelajar telah singgah di Masjid Wilayah untuk menunaikan solat zuhur. Kedatangan mereka ke Masjid Wilayah telah disambut mesra oleh Ustazah Fathiah. Pastinya, inilah saat-saat paling menyeronokkan bagi mereka (lebih kurang macam jejak kasih). Untuk pengetahuan semua, program lawatan ini merupakan idea asal daripada ustazah sendiri. Ustazah Fathiah merupakan pensyarah dakwah pada semester empat yang lepas tetapi telah ditukarkan ke JAWI.

Seterusnya, bas rombongan menuju ke Pusat Sains Negara. Perjalanannya tidaklah mengambil masa yang lama dan akhirnya tiba lebih kurang jam 3.30 petang. Di sana, para pelajar berpeluang melihat pelbagai barang yang dipamerkan. Berjalan seolah-olah berada di dasar laut yang dipenuhi dengan pelbagai jenis ikan pastinya memukau mereka yang pertama kali menjejakkan kaki ke Pusat Sains Negara. Setelah hampir satu jam setengah berada di dalam kawasan tersebut, arahan diterima daripada pengarah program untuk bertolak balik ke Darul Quran. Bas tiba di Darul Quran lebih kurang jam 8.30 malam.

Sekalipun jelas tergambar keletihan dikalangan mereka, namun kegembiraan bertemu ustazah kesayangan pastinya tidak dapat dilupakan. Paling penting, ilmu yang diperolehi di Parlimen sedikit sebanyak menambah thaqofah dikalangan mereka. Semestinya ada yang berazam untuk berucap di dewan Parlimen tersebut dan seterusnya mengubah corak pentadbiran negara satu hari nanti. Tahniah diucapkan kepada koordinator-koordinator yang telah bertungkus-lumus menjayakan program lawatan ”Hikmah Kembara” ini.

No comments: