Tuesday, February 3, 2009

Majlis Khatam Hafazan Al-Quran


Tanggal 31 Januari 2009, tercatat satu peristiwa bersejarah yang pasti dikenangi oleh seluruh ahli AQRAB. Pada hari ini, siswa-siswi Diploma Semester 6, AQRAB dan semester 3 Persijilan IQRaC diraikan dalam Majlis Khatam Hafazan peringkat Darul Quran.
Dengan paluan kompang yang bersemangat, majlis dimulakan dengan perarakan siswa-siswi yang diraikan, Pengarah Darul Quran, dif-dif kehormat, dan pensyarah-pensyarah masuk ke Dewan Muktamar. Setibanya di dalam dewan, siswa dan siswi terpana apabila melihat banyak mata-mata yang memandang sambil mengucapkan tahniah berkali-kali dengan senyuman yang tidak lekang daripada para hadirin yang terdiri daripada ibu bapa dan ahli keluarga siswa-siswi yang diraikan.
Selepas mengambil tempat masing-masing, majlis dimulakan dengan acara bacaan khatam al-Quran dan doa khatam al-Quran oleh pelajar-pelajar banin AQRAB yang terpilih. Bacaan ini dipimpin oleh al-Fadhil al-Ustaz Ibrahim bin Abdullah. Usai acara khatam, majlis diteruskan dengan ucapan wakil pelajar, Mohd Radhi bin Mohd Noh, ucapan pengarah Darul Quran dan ucapan perasmi Tuan Haji Othman bin Mustafa, Timbalan Pengarah ( Operasi ) JAKIM…..
Di dalam majlis tersebut, dua orang pelajar banin dan banat persijilan dan diploma terpilih sebagai pelajar cemerlang. Bagi kategorai diploma, Mohd Fikri Anwar terpilih sebagai pelajar cemerlang banin dan Norfarhana Ahmad Ghafar sebagai pelajar cemerlang banat.
Majlis diakhiri dengan Ibtihal doa khatam al-Quran yang dialun merdu oleh kumpulan nasyid Darul Quran, Gemersik Huffaz.
Majlis yang mendapat sambutan hangat itu semakin dirasai kemeriahannya apabila kesemua siswa dan siswi yang diraikan tersebut berpeluang berjumpa dengan keluarga tercinta yang datang dari pelbagai pelusuk negeri. Majlis pada hari itu menjadi sahabat yang sangat wajar diingati kerana ianya berjaya menghubungkan tali persaudaraan antara pelajar Darul Quran dengan para pensyarah dan para pensyarah dengan ibu bapa selain merapatkan hubungan sesama keluarga-keluarga para sahabat di Darul Quran. Lebih menarik untuk diceritakan apabila terdapat ramai juga siswa siswi kita yang tidak melepaskan peluang bersua muka serta bermesra bersama bakal mertua masing-masing. (Jangan lupa jaga ikhtilat taw…!)
Semoga majlis yang berlangsung itu mendapat keredhaan daripada Allah dan dicatat sebagai amalan yang diterimanya. Aamin.

No comments: