Tuesday, May 19, 2009

Yang Bagaimana? [Bahagian I]


By: MarieMaria

“Fitrah itu”: dari pandangan yang lebih matang

Kalau disebut lelaki, kemudian perempuan, atau sebaliknya, banyak orang akan membayangkan tema cinta. Kalau disebut cinta, mungkin dibayangkan pula sepasang kekasih (yang halal mahupun yang tak halal). Apapun, dalam Islam, perhubungan yang sah antara lelaki dan perempuan yang ajnabi hanya satu: perkahwinan. Dan jika anda merasakan bahawa pernikahan itu berkisar tentang percintaan semata-mata, fikirlah semula.

Apabila seorang lelaki datang kepada ‘Umar ibn al-Khattab R.A. dan memberitahunya bahawa dia mahu menceraikan isterinya kerana tidak suka akan isterinya, maka ‘Umar R.A. berkata, “Alangkah malangya engkau! Adakah keluarga (perkahwinan) itu terbina atas cinta sahaja? Di mana pertimbangan dan belas kasihanmu?”

Penulis tahu, kebanyakan pembaca aqrab-dq.via.my ini rata-ratanya baru menginjak ke alam dewasa, atau sekurang-kurangnya, sudah semakin matang, walaupun jiwa remaja masih bersisa di dalam diri. Dan almaklum pula, orang muda ini, kalau dibiarkan tanpa pengisian, bimbang sahaja mereka takkan tersedar dari tempoh Sedang Ingin Bercinta yang tak habis-habis…

Tak salah menginginkan yang indah-indah, cuma beringatlah! Kalau yang indah itu tidak diredai Tuhan, maka bahagiakah kita sebenarnya?

Walau bagaimanapun, penulis tidak dapat berpaling daripada hakikat bahawa sememangnya ramai pengikut blog ini (terutama AQRABians) sudah menghampiri umur berkeluarga; jadi penulis cuma ingin berkongsi sedikit panduan dan pendapat berkenaan hal ini… [Kepada para peminat penulisan ilmiah tepu: I warn you, artikel ini bukan 100% ilmiah (terus-terang itu bukan pendekatan favourite saya), tapi apa yang baik, ambillah. Yang kurang baik, tinggalkan… semoga ada manfaatnya untuk anda.]

Berbalik kepada kisah antara Saidina ‘Umar R.A. dengan seorang lelaki yang tercatat di awal penceritaan ini, fahamlah kita bahawa sejak dahulu lagi, manusia memang fitrahnya mahukan yang baik-baik sahaja – kadangkala sampai terlepas pandang akan realiti. Di kalangan kita sendiri di abad ke-21 ini, kemungkinan juga ramai yang berfikiran bahawa:

“Indahnya pernikahan yang terbina atas dasar cinta.”

Memanglah itu yang paling ideal.

Tetapi, realistikkah? Memang beruntung pasangan yang dapat bernikah atas dasar suka sama suka, tapi hakikatnya, bukan hanya cinta yang mengisi perkongsian hidup seorang lelaki dengan isterinya.

Maka, ini bukan risalah mengenai cinta semata-mata. Ya, memang kita akan membincangkan topik jodoh serta pencarian pasangan hidup (semestinya yang baik). Mencari, tetapi bagaimana?

Cara yang paling praktikal lagi obvious ialah: mulakan mencari yang baik dengan melayakkan diri anda untuk menerima yang baik terlebih dahulu.

Kita akan berbicara mengenai pentingnya menjadi manusia yang lebih baik. Kerana, sunnatullah menetapkan bahawa orang-orang yang soleh hanya layak didampingi oleh orang-orang soleh juga.

Oleh itu, islahkanlah diri kita dahulu, itu yang utama. Cinta pasti datang kepada mereka yang layak menerimanya.

Kerana bukan payah untuk jatuh cinta dengan orang soleh.


*clears throat* Sambungannya akan ditampal esok.

Sebarang komen dan kritikan amat dialu-alukan.

No comments: