Friday, February 20, 2009

Bebas dari belenggu Dewan Muktamar

Alhamdulillah, syukru lillah. Hari ini, 20 Februari 2009 berakhir imtihan akhir diploma pelajar semester enam, AQRAB. Kertas terakhir yang berlangsung pada hari ini ialah Tarikh Mashaf yang hanya diduduki oleh pelajar yang mengambil jurusan Qiraat. Bagi pelajar-pelajar jurusan dakwah, semalam lagi mereka telah meraikan hari terakhir bebas dari belenggu dewan muktamar. Terpancar riak-riak puas di wajah semua ahli AQRAB apabila melangkah keluar dari dewan muktamar, barangkali kerana akhirnya berjaya juga menamatkan sukatan pelajaran selama 3 tahun dan tidak ada lagi imtihan di dewan muktamar selepas ini dan tidak ada lagi berjaga malam untuk menghafaz nota-nota penting (bagi sesetengah golongan yang study maut last minute). (",)

Apabila ditanya tentang pendapat sebahagian daripada mereka, ada yang mengatakan: "ntah laa paper tadi camne...", ada juga yang tidak menghiraukan langsung keadaan kertas terakhir, "kami nak buat tesis pulak", "kitorang dah habis!!!", selain itu ada yang tidak sabar-sabar menjejak kampung halaman masing-masing. Krew-krew up to the minute juga berpeluang merakam babak-babak akhir suasana peperiksaan dan selepas peperiksaan bagi syukbah dakwah pada hari Khamis yang lalu dan bagi pelajar Qiraat pada hari ini. Rakaman-rakaman itu insyaAllah akan di post kan tidak lama lagi.

Pada hari ini juga, tersenarai nama-nama pelajar yang bertuah kerana boleh(terpaksa) bersungguh-sungguh lagi mengulang 30 juz al-Quran bagi menduduki imtihan ulangan yang akan diadakan awal bulan 3 nanti. Bagi pelajar yang lulus kedua-dua syafawi dan tahiriri, janganlah berasa terlalu gembira dan selamat. Teruskan lah mengulang al-Quran dan menyokong sahabat-sahabat yang lain. Bagi yang kena 'daur', jangan putus asa atau hilang semangat, kita sepatutnya merasa bertuah kerana terpilih untuk terpaksa pulun al-Quran lagi.
Walaubagaimanapun keputusan yang kita terima, segalanya terselit pelbagai hikmah untuk kita sama-sama renungkan dan ambil pengajaran. Paling penting, diharapkan agar semua ahli AQRAB tidak akan berhenti mengulang al-Quran sampai bila-bila dan sentiasa memperbaiki akhlak dan peribadi meskipun tidak lagi bergelar pelajar Darul Quran selepas ini.


Krew mengucapkan selamat mengulang dan selamat berjaya kepada semua ahli AQRAB yang akan menduduki imtihan ulangan tidak lama lagi dan kepada ahli AQRAB yang menangguh imtihan yang lalu, semoga berjaya dalam imtihan anda!

Pada waktu ini, kebanyakan ahli AQRAB sedang bertungkus-lumus sedaya-upaya memerah keringat menyiapkan penulisan latihan ilmiah (tesis) yang tertangguh beberapa minggu lantaran imtihan akhir. Semoga semua dapat menyiapkan penulisan ini dengan pada waktu yang ditetapkan dan mendapat gred yang baik juga.

*Kalau kat maktabah penuh, boleh print kat printer AQRAB! ;>

Tuesday, February 3, 2009

Majlis Khatam Hafazan Al-Quran


Tanggal 31 Januari 2009, tercatat satu peristiwa bersejarah yang pasti dikenangi oleh seluruh ahli AQRAB. Pada hari ini, siswa-siswi Diploma Semester 6, AQRAB dan semester 3 Persijilan IQRaC diraikan dalam Majlis Khatam Hafazan peringkat Darul Quran.
Dengan paluan kompang yang bersemangat, majlis dimulakan dengan perarakan siswa-siswi yang diraikan, Pengarah Darul Quran, dif-dif kehormat, dan pensyarah-pensyarah masuk ke Dewan Muktamar. Setibanya di dalam dewan, siswa dan siswi terpana apabila melihat banyak mata-mata yang memandang sambil mengucapkan tahniah berkali-kali dengan senyuman yang tidak lekang daripada para hadirin yang terdiri daripada ibu bapa dan ahli keluarga siswa-siswi yang diraikan.
Selepas mengambil tempat masing-masing, majlis dimulakan dengan acara bacaan khatam al-Quran dan doa khatam al-Quran oleh pelajar-pelajar banin AQRAB yang terpilih. Bacaan ini dipimpin oleh al-Fadhil al-Ustaz Ibrahim bin Abdullah. Usai acara khatam, majlis diteruskan dengan ucapan wakil pelajar, Mohd Radhi bin Mohd Noh, ucapan pengarah Darul Quran dan ucapan perasmi Tuan Haji Othman bin Mustafa, Timbalan Pengarah ( Operasi ) JAKIM…..
Di dalam majlis tersebut, dua orang pelajar banin dan banat persijilan dan diploma terpilih sebagai pelajar cemerlang. Bagi kategorai diploma, Mohd Fikri Anwar terpilih sebagai pelajar cemerlang banin dan Norfarhana Ahmad Ghafar sebagai pelajar cemerlang banat.
Majlis diakhiri dengan Ibtihal doa khatam al-Quran yang dialun merdu oleh kumpulan nasyid Darul Quran, Gemersik Huffaz.
Majlis yang mendapat sambutan hangat itu semakin dirasai kemeriahannya apabila kesemua siswa dan siswi yang diraikan tersebut berpeluang berjumpa dengan keluarga tercinta yang datang dari pelbagai pelusuk negeri. Majlis pada hari itu menjadi sahabat yang sangat wajar diingati kerana ianya berjaya menghubungkan tali persaudaraan antara pelajar Darul Quran dengan para pensyarah dan para pensyarah dengan ibu bapa selain merapatkan hubungan sesama keluarga-keluarga para sahabat di Darul Quran. Lebih menarik untuk diceritakan apabila terdapat ramai juga siswa siswi kita yang tidak melepaskan peluang bersua muka serta bermesra bersama bakal mertua masing-masing. (Jangan lupa jaga ikhtilat taw…!)
Semoga majlis yang berlangsung itu mendapat keredhaan daripada Allah dan dicatat sebagai amalan yang diterimanya. Aamin.