Sunday, March 29, 2009

Solehah berlepas ke tanah Hijaz

Sabtu 28 Mac – Alhamdulillah, pada jam 12 tengahari, Solehah Borhan Nagimi (Qiraat, kelas Khalaf al-‘Asyir) telah berlepas ke Jeddah untuk menunaikan umrah. Pemergian Solehah pada kali ini merupakan tajaan negeri Selangor kerana beliau telah menjuarai musabaqah hafazan al-Quran 30 juzu’ di peringkat negeri Selangor pada tahun lepas.

Beliau telah ditaja bersama-sama dengan ayah serta ibunya (sebabnya, perempuan wajib diiringi oleh mahram) di bawah pengurusan Selangor Travel and Tourism. Rombongan umrah tersebut turut disertai oleh lebih kurang 20 orang jemaah lain yang turut ditaja oleh pihak berkenaan.

Mereka telah menaiki pesawat Saudi Airlines dengan mengikuti route Kuala Lumpur-Jeddah. Rombongan tersebut akan dibawa untuk menziarahi Madinah al-Munawwarah selama tiga hari sebelum bertolak ke Makkah al-Mukarramah untuk menunaikan ibadah umrah. Mereka akan berada di sana sehingga 7 April ini.

Solehah sempat memohon doa daripada seluruh warga AQRAB agar mereka dikurniakan keselamatan dan kesihatan sepanjang tempoh musafir mereka; juga agar dipermudahkan segala urusan dan mendapat umrah yang mabrur. Ameen.

Friday, March 27, 2009

Takziah! Derma Kilat

Jumaat, 27 Mac – Seluruh warga AQRAB mengucapkan takziah kepada Nor Seri Aimi binti Mohd Nor dan keluarganya yang ditimpa musibah pada hari ini. Rumah kediaman mereka yang terletak di Selama, Perak telah dilanda kebakaran sekitar waktu solat Jumaat tadi. Keseluruhan rumah tersebut telah hangus dijilat api, namun alhamdulillah, tiada kecederaan berlaku kerana kesemua ahli keluarganya tidak berada di rumah pada waktu kejadian.

Buat masa ini, keluarganya mungkin akan tinggal di rumah saudara-mara terdekat. Diharapkan agar warga AQRAB serta para muallimeen yang membaca berita ini dapat mendoakan keselamatan Nor Seri Aimi dan keluarganya; semoga mereka dapat bersabar atas ujian yang maha berat ini.

Oleh itu, kami ingin melancarkan derma kilat untuk membantu meringankan kesusahan yang dialami oleh keluarga Seri Aimi sekarang. Sesiapa yang ingin menyumbang bantuan wang, bantuan bolehlah dimasukkan(bank-in) ke dalam akaun berikut:

10116-29-00013216-1 (Maryam Nabeelah binti Ismail)
(Akaun Giro Bank Simpanan Nasional)

atau

1620 7658 0223 (Nur Syazwani binti Mohamed Nasrudin)
(Akaun Wadiah Maybank)


Jika ada yang ingin menghulurkan bantuan dalam bentuk lain, sila hubungi Maryam Nabeelah di nombor [017 628 8093] atau e-mel [mnabeelah@yahoo.com].

Wednesday, March 25, 2009

Surat daripada SMUTEM yang ketiga

Assalamualaikum Warahmatullah Wabarakatuh

PERKARA

1. MAKLUMAN PEMBETULAN TARIKH PENGHANTARAN SEMULA

BORANG KPT

2. STATUS PERMOHONAN DIPLOMA DQ DAN MTQN

3. TAWARAN KE-2 UNTUK MEMOHON MAAHAD QIRAAT AL-AZHAR

MELALUI SMUTEM

Sukacita dimaklumkan, pihak SMUTEM DQ telah menerima makluman dari Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT) mengenai perubahan tarikh bagi menghantar permohonan Mesir dan Jordan telah diawalkan satu bulan daripada tarikh yang telah ditetapkan sebelum ini, justeru pihak SMUTEM DQ terpaksa melakukan pindaan terhadap tarikh penerimaan borang dari pemohon, justeru adalah dimaklumkan tarikh terbaru penerimaan/penghantaran borang KPT, SSLN dan segala dokumen yang berkaitan kepada pihak SMUTEM DQ adalah SEBELUM 15 APRIL 2009, bagi pemohon yang gagal melakukan penghantaran tersebut sebelum tarikh yang ditetapkan, permohonan tersebut boleh dibatalkan (tertakluk kepada keputusan dan budi bicara pihak SMUTEM DQ).

2. Mengenai status permohonan pelajar DQ dan MTQN, seperti yang telah dimaklumkan permohonan ke Universiti Al-Azhar mengunakan Sijil Diploma bagi seluruh institusi pengajian tinggi tanah air telah dibatalkan oleh Pihak Kementerian Tinggi pada tahun lalu. Bagaimanapun pihak SMUTEM DQ telah mengambil inisiatif bagi mendapatkan status dilpoma DQ dan MTQN serta telah mengemukakan permohonan kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT) bagi mendapatkan kelulusan untuk melanjutkan pelajaran di Maahad Qiraat, Al-Azhar. Satu resolusi yang telah dicapai oleh SMUTEM dan pihak KPT, hanya pemohon atau pemegang DIPLOMA TAHFIZ DARUL QURAN DAN MTQN yang memohon MELALUI Sekretariat Menyambung Pengajian Ke Universiti Timur Tengah (SMUTEM DQ) SAHAJA, mendapat jaminan bahawa permohonan tersebut akan diterima dan diproses bagi melanjutkan pelajaran disana, manakala bagi individu-individu yang memohon melalui konsultan selain dari SMUTEM DQ, tiada sebarang jaminan yang dijanjikan mengenai status permohonan mereka dan kemungkinannya tidak akan diproses, oleh itu, saudara/i dinasihatkan untuk terus memohon melalui SMUTEM DQ.

3. Justeru, bagi membantu dan memberi peluang kepada individu yang masih belum memohon melalui SMUTEM DQ, pihak smutem membuka tawaran ke-2 bagi individu yang masih ingin memohon melalui pihak kami, saudara/i dikehendaki mengubungi eksekutif kami sebelum 10 APRIL 2009 bagi mendapatkan borang permohonan melalui e-mail yang akan dihantar, no perhubungan SMUTEM DQ adalah seperti nombor yang tetera di bawah.

4 Akhir kalam, pihak smutem memohon seinfiniti kemaafan di atas segala kesulitan yang berlaku, segala permasalahan amatlah dikesali, kerjasama dan dorongan dari saudara/i amatlah dihargai dan dihalui dengan ucapan terima kasih.

Bagi sebarang permasalahan berkaitan saudara/i bolehlah menghubungi no.berikut

dq_smutem@yahoo.com

atau boleh menghubungi :

Saudara Ridzuan : 013-2002173 Saudara Qairy : 013-2128728

Saudari Norlina : 013-2911676 Saudari Hana’ : 013-2910993

Sebarang urusan surat menyurat bolehlah dialamatkan kepada :

PEJABAT OPERASI SMUTEM DQ

UNIT ALUMNI DAN KERJAYA

DARUL QURAN JAKIM,

JALAN HAMZAH, AMPANG PECAH,

44000 KUALA KUBU BARU

SELANGOR DARUL EHSAN.

Sekian dimaklumkan.

Monday, March 23, 2009

Surat SMUTEM Berkenaan Jordan

Assalamualaikum Warahmatullah Wabarakatuh

Makluman mengenai pengisian borang KPT Jordan, Maklumbalas penerimaan borang KPT dan penjelasan perubahan sebut harga pengurusan.


Sukacita dimaklumkan, pihak SMUTEM telah menghantar borang KPT kepada seluruh pemohon Baitulmal dan SMUTEM DQ bagi proses permohonan, justeru bagi pemohon yang masih belum menerima borang tersebut sehingga 25/3/2009 bersamaan hari Rabu, saudara/i dikehendaki menghubungi pihak smutem dengan kadar segera bagi tujuan semakan dan status permohonan saudara/i.

Selanjutnya, bagi pemohon universiti di Jordan saudara/i dikehendaki memilih salah satu dari 3 universiti di jordan iaitu :

i) Universiti Al-Bayt
ii) Universiti Mu’tah
iii) Universiti Yarmouk


manakala bagi kursus yang ditawarkan adalah :

i) Syariah Islamiah
ii) Usuluddin
iii) Bahasa Arab

Pada peringkat awal saudara/i dikehendaki memilih kursus yang ditawarkan seperti diatas ini dahulu, namun pengkhususan yang lebih tepat untuk memilih kursus-kursus lain seperti usul fiqh atau syariah kanun boleh dipilih setelah saudara/i telah diterima masuk ke universiti tersebut. pilihan universiti dan kursus perlu diisi pada m/s 4 bahagian E di borang KPT. Contoh :

Untuk keterengan lanjut mengenai kursus dan univerisiti yang ditawarkan, saudara/i boleh melayari laman web http://www.mppmjordan.com/ untuk mendapatkan link website universiti-universiti di sana.

Bagi perubahan harga pengurusan yang berlaku, pihak kami memohon seinfiniti kemaafan di atas sedikit perubahan yang terjadi, perubahan tersebut berlaku adalah kerana perubahan harga pengurusan yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi telah meningkat berbanding tahun lalu, selain itu beberapa dokumen terjemahan juga perlu ditambah dan ianya menyebabkan berlakunya penambahan harga pengurusan, pihak saudara-saudari boleh merujuk sebut harga yang telah dilampirkan bersama-sama borang yang telah dihantar. Harga pengurusan yang terbaru adalah :

Mesir : RM 460.00
Jordan : RM 414.00


Bagi sebarang permasalahan berkaitan dengan pengisian borang saudara/i bolehlah menghubungi no.berikut

Eksekutif Pengurusan dan Hal Ehwal Mesir
Saudara Ridzwan : 013-2002173 Saudari Norlina : 013-2911676

Eksekutif Pengurusan dan Hal Ehwal Jordan
Saudara Rahim : 013-2002380 Saudari Azma : 013-2911721

atau boleh menghubungi :
dq_smutem@yahoo.com

Sebarang urusan surat menyurat bolehlah dialamatkan kepada :
PEJABAT OPERASI SMUTEM DQ
DARUL QURAN JAKIM,
JALAN HAMZAH, AMPANG PECAH,
44000 KUALA KUBU BARU
SELANGOR DARUL EHSAN.


Sekian dimaklumkan.

Sunday, March 22, 2009

Warkah Dari Madinah


Assalamualaikum w.b.t....

Segala pujian bagi Allah tuhan sekalian alam, selawat serta salam ke atas junjungan nabi Muhammad s.a.w.

Terlebih dahulu saya nak mengucapkan ribuan kemaafan kpd admin (myadiar). Sebenarnya dah lama dia mintak, tapi takda masa sebenarnya and internet pun lembab (server down) kat sini, hmm sabar jelah. Ape kabar korang sume?? Wah, macam meriah je AQRAB ni sejak dah habis. Moga-moga ianya berterusan.

Sebenarnya takda nk cerita apa, cuma admin nak mintak jugak drpd saya. Oklah kalau macam tu. Saya di sini telah selamat sampai bersama dengan lebih kurang 23 org pelajar Malaysia yang lain, time tu jam kul 12 lbh kurang. Tapi time musim sejuk, fuhh! sejuk jgk lah. Tapi kan, sampai je kat UIM tu mula lah buat urusan, tau tak?sampai pukul berapa saya baru dpt bilik?sampai kul 4 pagi!! mmg arab lah diorang ni...memang penat tahap gaban lah orang cakap. Tak habis dengan dugaan tersebut diuji lagi dengan dugaan nak ambil sampel darah pd keesokan harinya. Itu shj kene tunggu seminggu baru lah dpt utk diambil darah. (sebenarnya bnyk lagi nk citer, tp admin suruh pendekkan.. huhu).

'Alaa kulli hal, skrg cuaca pun dah masuk musim panas, panas yang terik punya. Memang betul lah ape yang dijanjikan oleh junjungan besar nabi Muhammad s.a.w. Dlm hadis Rasulullah ade menyebut tentang cuaca di madinah ini. Mafhumnya bahawasanya panasnya akan menjadi betul-betul panas dan sejuknya akan menjadi betul-betul sejuk. Skrg ni pelajar Malaysia yang datang sekali dengan saya tinggal 21 orang shj. Seorang tak tahan dengan keadaan Madinah iaitu tanah haram dan seorang lagi ditimpa musibah, darahnya mengandungi masalah dan kedua-duanya menyambung pelajarannya ke Mesir. Kami di sini ditempatkan sebilik 3 orang dan tidak boleh bercampur dengan negara yang sama, kami diasingkan. Tapi bilik semuanya dekat-dekat.

Tiap pg ade kuliyah dan lepas zohor waktu rehat dan makan, makanan diberi pilihan samada nak makan di kantin (kena beli kupon) atau masak sendiri, tapi saya lebih suka amik pilihan makan sendiri atau masak sendiri. Lepas asar pergi ke Masjid Nabawi (haram) sampai lah Isyak. Di sana ramai syeikh-syeikh buat halaqah, tinggal kita pilih je mana yang kita nak belajar.


Sekarang, dah pun berlalu 3 minggu untuk semester 2 dan kuliyah hadith di sini agak susah lah. Kena rajin cikit kalau nak dapat ilmu tersebut, lagi-lagi apabila berjauhan dengan orang tua, memang terpulang kepada diri kita samada nak belajar atau main-main, sebab memang takda orang yang akan menegur kita dan takda siapa yang akan memerhatikan kita.

Jadi di kesempatan ini saya nak nasihatkan kepada sahabat-sahabat yang akan melanjutkan pelajaran ke luar tuntut lah ilmu betul-betul dan perbetulkan niat kita, moga-moga Allah s.w.t akan mendorong kita ke arah yang betul. Mungkin dah terlalu panjang apa saya nukilkan ini, jadi kepada sesiapa yang nak datang ke sini sila lah and bagitahu lah, mana lah tau kut-kut ade yang boleh ditolong. Setakat itu sahaja dahulu. InsyaALLAH ade masa saya cerita lagi. AQRAB tetap akrab... hehe.

Wassalam....

Saturday, March 21, 2009

Takziah!

Buat pengetahuan semua, ayahanda kepada Muhammad Hafizi bin Ramli (ahli nasyid) telah meninggal dunia kira-kira jam 3.45 petang tadi (21 mac 2009). Solat jenazah insya-Allah akan dibuat pada 9.00 malam ini. Marilah sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah buat allahyarham. Semoga rohnya di tempatkan di kalangan orang-orang soleh dan dicucuri rahmat. Ameen. Buat saudara Hafizi dan keluarga, kami mendoakan agar kalian sentiasa bersabar dengan suratan yang mendatang ini. Setiap yang hidup pasti akan merasai mati. Wallahua’lam-

Thursday, March 12, 2009

Surat Daripada SMUTEM


Assalamualaikum Warahmatullah Wabarakatuh

Makluman mengenai penghantaran borang KPT, SSLN dan BAITULMAL

Perhatian kepada semua pemohon baitulmal dan SMUTEM, tidak lama lagi pihak smutem akan menghantar borang KPT, SSLN dan BAITULMAL kepada semua pemohon bagi proses permohonan ke universiti di jordan dan al-azhar,

Bagi pemohon smutem, antum dikehendaki :

1. mengisi borang KPT, SSLN.
2. Menyediakan dokumen-dokumen yang diperlukan.
3. Membuat pembayaran melalui deposit bank.
4. (slip deposit bank pembayaran pengurusan hendaklah dihantar kepada
pihak smutem sebagai bukti pembayaran).

Dokumen-dokumen diatas hendaklah dihantar selewat-lewatnya 20 APRIL 2009
.

Butir-butir dan harga pembayaran akan disertakan bersama dengan borang KPT yang akan dihantar, pembayaran hanya boleh dilakukan dengan deposit bank ke dalam akaun smutem, di atas nama :

AKAUN MAYBANK BERHAD (WADIAH)
SMUTEM DQ
162076593095


Justeru kepada semua pemohon antum dinasihatkan untuk menyediakan beberapa dokumen- seawal mungkin sebagai persediaan bagi dilampirkan bersama dengan borang KPT dan SSLN, item-item tersebut adalah :

MESIR
1. Cabutan Sijil Lahir Asal dan 4 salinan yang telah disahkan.
2. Tujuh (7) keping gambar berukuran pasport
(Tidak termasuk yang dikepilkan pada borang permohonan).
3. Empat (4) salinan pasport Malaysia yang telah disahkan
(Muka surat yang mengandungi maklumat pelajar).

JORDAN
1. Lima (5) keping gambar berukuran pasport;
(Tidak termasuk yang dikepilkan pada borang permohonan).
2. Tiga (3) salinan pasport Malaysia yang telah disahkan;
(Muka surat yang mengandungi maklumat pelajar).
3. Dua (2) salinan pengesahan laporan perubatan.


SIJIL SOKONGAN LUAR NEGARA (SSLN)
*perlu diisi oleh pemohon mesir dan jordan.

1. Dua (2) salinan surat perakuan kewangan daripada pihak bank/salinan buku
bank/penyata bank yang telah disahkan oleh pihak bank (untuk pelajar persendirian sahaja).
2. Dua (2) salinan Sijil Kelahiran dan Kad Pengenalan yang telah disahkan.
3. Dua (2) salinan sijil kelayakan akademik SPM dan STPM atau sijil-sijil yang diiktiraf
setaraf dengannya oleh Kerajaan Malaysia yang telah disahkan.
4. Dua (2) salinan surat tawaran kemasukan ke IPT luar negara yang telah disahkan.
5. Dua (2) keping gambar warna berukuran pasport pemohon ( sila lekatkan pada muka
hadapan di sudut kanan borang KP/SSLN/2006/A).

Bagi urusan-urusan lain, ianya akan diuruskan oleh pihak smutem dq.
Sebarang permasalahan atau persoalan bolehlah diajukan kepada pihak smutem dq melalui.
Bagi pemohon Baitulmal, antum dikehendaki melengkapkan dahulu borang yang diberikan, bagi tarikh penghantaran semula borang pihak kami akan memaklumkan semula dari semasa ke semasa.
dq_smutem@yahoo.com
atau boleh menghubungi :
Saudara Ridzuan : 013-2002173 Saudara Qairy : 013-2128728
Saudari Norlina : 013-2911676 Saudari Hana’ : 013-2910993

Sebarang urusan surat menyurat bolehlah dialamatkan kepada :
PEJABAT OPERASI SMUTEM DQ
DARUL QURAN JAKIM,
JALAN HAMZAH, AMPANG PECAH,
44000 KUALA KUBU BARU
SELANGOR DARUL EHSAN.

Wednesday, March 11, 2009

Kembara Insani Nafi’


LANGKAWI – Seramai 19 orang pelajar Darul Quran telah mengikuti rombongan Kembara Insani Nafi’ (yang merupakan program rasmi kelas Nafi’) pada 5 Mac yang lalu selama 5 hari 4 malam.

Objektif program tersebut adalah untuk mengeratkan lagi ukhuwwah sesama ahli kelas Nafi’. Walau bagaimanapun, program ini turut disertai oleh dua orang pelajar dari kelas Hamzah. Bermula pada pagi Khamis, kami semua telah bersetuju untuk berkumpul di jeti Kuala Perlis dan menaiki feri pada pukul 11:30 yang perjalanannya memakan masa hampir 1 jam 15 minit dari jeti.

Setibanya kami di jeti Kuah, kami telah menyewa 4 buah kereta dan menuju ke tempat penginapan di kuarters rumah koperasi MRSM Langkawi untuk dua hari yang pertama manakala pada 2 hari yang terakhir kami telah menginap di AB Motel yang terletak di Pantai Cenang.

Aiman Samsudin selaku ketua pelancong dan para AJK program telah menyusun aktiviti yang bakal dilakukan serta tempat-tempat yang bakal dilawati sepanjang kami berada di sana. Antara tempat-tempat menarik yang telah kami lawati termasuklah Dataran Lang, Bird Paradise, Galeri Perdana, Underwater World, serta Kereta Kabel di Gunung Macincang.


Selain itu, program kembara ini turut padat dengan pelbagai aktiviti lain seperti Island Hopping di Pulau Tasik Dayang Bunting dan Pulau Beras Basah, Mangrove, melawat gua kelawar, melihat burung helang memburu makanan dan melawat ikan di dalam sangkar di Tanjung Rhu, menaiki go-kart, bermain futsal selain dijemput membaca Yasin dan 30 juzuk al-Qur’an di rumah abang Aiman dan jirannya.

Kami sempat membeli sedikit cenderahati dan aneka pilihan coklat sebelum beredar meninggalkan pesisiran Pulau Langkawi pada 9 Mac, jam 6 petang dalam keadaan terpaksa berasak-asakan dengan ramai penumpang lain yang akan bekerja pada keesokan hari.

Seramai empat orang pelajar terus menuju ke destinasi masing-masing manakala tujuh orang yang lain menginap di rumah Ashraf Ehtesham di Kampung Santan, Perlis. Sebelum pulang, Ashraf Ehtesham telah membawa mereka membeli-belah di Kompleks Padang Besar pada keesokan harinya.
Ribuan terima kasih diucapkan terutamanya buat Aiman, dua orang abangnya iaitu Ashraf dan Ikrami serta keluarga dan ibu Aiman yang banyak menolong kami untuk mendapatkan tempat penginapan dan harga sewa yang berpatutan sepanjang berada di sana. Tidak dilupakan juga buat semua koordinator program dan AJK-AJK yang terlibat secara langsung dan para sponsor program kembara ini.

Tuesday, March 10, 2009

Kisah Pulau Pangkor

Pencerita: Edot

24 Februari 2009 merupakan tarikh yang dinanti-nantikan oleh sebahagian ahli AQRAB yang telah merancang percutian mereka ke sebuah destinasi yang terletak di negeri Perak Darul Redzuan iaitu Pulau Pangkor bagi melepaskan tension baru lepas exam =). Antara yang pergi ke Pulau Pangkor tersebut ialah Abdul Halim, Hilmi Said, Mohamad Redha, Alif, Muhaimin, Elmer, Amin, Safwan, Awangku Fairuz dan Fahimi. Perjalanan mereka ke Pulau Pangkor bermula setelah usainya solat subuh kira-kira jam 6.10 am. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar seperti yang telah dirancang. Perjalanan dimulakan dengan bismillah…Vrooommmm..tiga buah kereta menyusur keluar dari pintu pak guard dengan harapan pakcik guard tidak memberikan sebarang persoalan. Alhamdulillah sekali lagi, pakcik misai tiada..hehe.. Sebelum meneruskan perjalanan yang jauh, kami telah singgah ke rumah Muhaimin yang terletak di Kolumpang, Hulu Selangor untuk sarapan pagi. Setelah sarapan, perjalanan diteruskan lagi. Tepat jam 12 tengahari, kami pun sampai di Jeti Lumut di mana tempat kami menaiki feri untuk ke Pulau Pangkor. Perasaan kami ketika itu bertambah gembira apabila melihat para pelancong dan deruan air laut yang memukul-mukul tebing jeti. Setelah berurusan dengan pihak pengurusan feri, kami terus menunggu feri berkenaan. Dalam beberapa minit menunggu, feri kami pun sampai dan masing-masing beratur untuk menaiki feri. Dalam perjalanan kami menuju ke Pulau Pangkor, banyak panorama-panorama yang menarik seperti kem Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang megah dengan beberapa buah kapal perang. Sepanjang perjalanan, ada antara kami yang tidak putus-putus melepaskan peluang mengambil gambar kenangan berlatarkan lautan yang terbentang luas.

Jam 2 petang, kami pun tiba di destinasi yang dirancang. Terpapar keriangan di wajah masing-masing dek terlalu gembira dapat bercuti di pulau mutiara ini. Kami terus mendapatkan teksi dan bergerak menuju ke tempat penginapan yang telah disediakan iaitu di Zek Pink chalet. Segalanya berjalan dengan begitu teratur. Segala penginapan yang disediakan memang memuaskan dan dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan yang sedia ada. Penginapan kami di situ selama 3 hari 2 malam. Selama berada di pulau tersebut, banyak tempat yang kami jelajahi dan melakukan aktiviti seperti barbeque, jogging dan memasak apabila lapar..hehe.. Aktiviti yang paling menarik telah kami lakukan ialah snorkeling. Tambahan pula, Pulau Pangkor terkenal dengan air lautnya yang biru dan bersih membuatkan para hadirin yang bersnorkeling ingin bersuai kenal dengan cik-cik ikan..=) Hinggalah sampai hari terakhir pada 26 Februari 09, waktu untuk mengemas barang dan pulang ke Darul Quran. InsyaAllah, jika ada kesempatan dilain masa, kita nak buat lagi dengan all AQRABIANS pulak, camne kawan-kawan, agree or not? Yang penting fulus mesti mau ada, sebab kat Pulau Pangkor banyak barang-barang kraf tangan yang menarik dan lawa-lawa. Kalau tak beli rugi. Apa-apa pun percutian kami ini bukan sekadar bercuti, antara lain mempunyai intipati pengisian yang unik antaranya dapat mengeratkan lagi silaturahim, menjalinkan kasih sayang dan mahabbah, juga melahirkan sikap saling membantu antara satu sama lain dan dapat menikmati keindahan alam ciptaan Allah s.w.t.. Subhanallah…wallahu a’lam

Monday, March 9, 2009

Futsal Selamat Tinggal

Pada 22 Februari 2009 yang lalu, satu perlawanan persahabatan futsal antara pelajar-pelajar AQRAB dengan staf-staf Darul Quran diadakan di gelanggang futsal Taman Tanjak. Perlawanan yang dianjurkan oleh Biro Riadhah dan Rekreasi AQRAB (Reda-C) dengan kerjasama HEP ini bertujuan untuk merapatkan silaturrahim antara pelajar dengan staf di samping meraikan pelajar-pelajar AQRAB sebelum mereka meninggalkan Darul Quran. Perlawanan yang diadakan pada jam 10-12 tengah malam ini memihak kepada team pelajar dengan jaringan 30 (lebih sebenarnya) berbalas 5 (ok la tu). Kemenangan AQRAB ini juga adalah kerana peranan penjaga gol mereka yang hebat, Mohd Noor Hiqmi walaupun beliau pada ketika itu mengalami sakit kaki. Pelajar-pelajar AQRAB sebenarnya sangat bertuah kerana mereka diberi kebenaran oleh pihak HEP bermain pada waktu malam (sebelum ni tak pernah lepas) dan yang lebih manis bagi mereka, perbelanjaan sewa gelanggang ditaja sepenuhnya oleh staf DQ. Pelajar yang mewakili AQRAB pada malam itu ialah Mr. Halim, Hiqmy, Hafis, Mujahid, Anas, Harith, Aiman, Zaini dan Hazwan manakala barisan yang mewakili team staf pula ialah ust. Jihadi, en. Fairuz penyelia dan beberapa staff yg baru (tak kenal nama). Semoga perlawanan persahabatan ini akan menjadi kenangan manis bagi semua yang menyertainya.

Walaupun berita ni keluar lambat, tetapi tetap dipaparkan kerana mungkin ia akan menjadi kenangan satu hari nanti untuk kita semua terutama bagi sesiapa yang terlibat. Majulah sukan untuk AQRAB!

Semoga terus berjaya Ustaz!

Baru-baru ini (sebenarnya dah lame jugak kot) ahli-ahli AQRAB diberitakan dengan perpindahan Ustaz Taufiq Arshad, salah seorang pensyarah tasmi’ pelajar AQRAB ke tempat baru. Apa yang penulis sendiri berasa aneh ialah beliau bukan dipindahkan ke JAWI atau JAKIM seperti kebanyakan pensyarah Darul Quran yang lain, tetapi beliau diberi tugas baru di Kementerian Kerja Raya. Klik di sini untuk cerita lebih detail.http://abamirul.blogspot.com/
Apapun, kami berharap agar Ustaz sabar dan tabah menghadapi ujian dan perkara baru dalam hidup. Semoga Ustaz berjaya di mana juga ustaz berada!

Sunday, March 8, 2009

Kenangan Terindah :>

Alhamdulillah. Akhirnya tamat jugak pengajian AQRABIAN kat DQ ni. Sepanjang 3 tahun berkuliyyah, tasmi’ al-Quran, berusrah, berpersatuan, berkawan, bergaduh dan macam-macam lagi, mesti ada peristiwa-peristiwa yang tak dapat dilupakan atau yang nak diulangi. Jadi, apa kata kita kongsi pengalaman kita yang macam-macam tu dengan kawan-kawan AQRAB yang lain. Pastinya sangat indah bila dikenang kembali. So, to all AQRABIAN, feel free to share with us. Jom tinggalkan comment anda di posting ini. Terima Kasih! (",)

ingat lagi bile korg happy2 snap photo ni?


ni mase sem 5 kot. pegi KUIS n ILIM kan


rajin makan angin same2.ada lagi lepas ni?


kenangan sepanjang rehlah kali pertama?


zaman muda2. masih segar di ingatan?