Wednesday, March 11, 2009

Kembara Insani Nafi’


LANGKAWI – Seramai 19 orang pelajar Darul Quran telah mengikuti rombongan Kembara Insani Nafi’ (yang merupakan program rasmi kelas Nafi’) pada 5 Mac yang lalu selama 5 hari 4 malam.

Objektif program tersebut adalah untuk mengeratkan lagi ukhuwwah sesama ahli kelas Nafi’. Walau bagaimanapun, program ini turut disertai oleh dua orang pelajar dari kelas Hamzah. Bermula pada pagi Khamis, kami semua telah bersetuju untuk berkumpul di jeti Kuala Perlis dan menaiki feri pada pukul 11:30 yang perjalanannya memakan masa hampir 1 jam 15 minit dari jeti.

Setibanya kami di jeti Kuah, kami telah menyewa 4 buah kereta dan menuju ke tempat penginapan di kuarters rumah koperasi MRSM Langkawi untuk dua hari yang pertama manakala pada 2 hari yang terakhir kami telah menginap di AB Motel yang terletak di Pantai Cenang.

Aiman Samsudin selaku ketua pelancong dan para AJK program telah menyusun aktiviti yang bakal dilakukan serta tempat-tempat yang bakal dilawati sepanjang kami berada di sana. Antara tempat-tempat menarik yang telah kami lawati termasuklah Dataran Lang, Bird Paradise, Galeri Perdana, Underwater World, serta Kereta Kabel di Gunung Macincang.


Selain itu, program kembara ini turut padat dengan pelbagai aktiviti lain seperti Island Hopping di Pulau Tasik Dayang Bunting dan Pulau Beras Basah, Mangrove, melawat gua kelawar, melihat burung helang memburu makanan dan melawat ikan di dalam sangkar di Tanjung Rhu, menaiki go-kart, bermain futsal selain dijemput membaca Yasin dan 30 juzuk al-Qur’an di rumah abang Aiman dan jirannya.

Kami sempat membeli sedikit cenderahati dan aneka pilihan coklat sebelum beredar meninggalkan pesisiran Pulau Langkawi pada 9 Mac, jam 6 petang dalam keadaan terpaksa berasak-asakan dengan ramai penumpang lain yang akan bekerja pada keesokan hari.

Seramai empat orang pelajar terus menuju ke destinasi masing-masing manakala tujuh orang yang lain menginap di rumah Ashraf Ehtesham di Kampung Santan, Perlis. Sebelum pulang, Ashraf Ehtesham telah membawa mereka membeli-belah di Kompleks Padang Besar pada keesokan harinya.
Ribuan terima kasih diucapkan terutamanya buat Aiman, dua orang abangnya iaitu Ashraf dan Ikrami serta keluarga dan ibu Aiman yang banyak menolong kami untuk mendapatkan tempat penginapan dan harga sewa yang berpatutan sepanjang berada di sana. Tidak dilupakan juga buat semua koordinator program dan AJK-AJK yang terlibat secara langsung dan para sponsor program kembara ini.

No comments: