Tuesday, June 24, 2008

Malam Gala Gemilang AQRAB 2008


DARUL QURAN — Setelah beberapa kali ditangguhkan dan ditukar nama, akhirnya pada 23 Jun 2008, ahli AQRAB digemparkan dengan berita yang mengejutkan. Malam Gala Gemilang akan diadakan pada malam itu juga. Mujur pada hari itu (Isnin), kelas tidaklah padat seperti hari-hari biasa.
Selepas kelas, barisan perwakilan AQRAB dan AJK Malam Gala Gemilang dengan bertungkus-lumus menyediakan persiapan untuk Malam Gala Gemilang AQRAB. Bagi ahli-ahli AQRAB yang lain, tidak kurang juga sibuknya mengemaskan lagi baju semester yang akan dipakai pada majlis malam itu, kiranya sentuhan-sentuhan akhir untuk persiapan.
Tepat pada jam 9.15 malam, ahli-ahli AQRAB sudah pun berkumpul di dalam Auditorium Sheikh Mohd Nor. Buat pertama kalinya, ahli AQRAB menghadiri majlis AQRAB dengan baju semester masing-masing. Banat lengkap berbaju dan tudung serba hijau yang warnanya seakan-akan kerusi di Auditorium, manakala banin mengenakan jubah serba coklat yang telah diimport dari Madinah/Mekah. Kehadiran ahli AQRAB bolehlah dibanggakan. Walaupun ada juga ahli yang tidak dapat hadir, majlis tetap berjalan dengan meriah.
Majlis dimulakan dengan al-Fatihah supaya majlis yang diadakan dengan tujuan untuk merapatkan ukhwah sesama ahli diberkati Allah. Majlis telah dipengerusikan oleh saudara Mohd Noorhiqmy bin Ahmad Tuah. Selepas itu ahli dewan mendengar ucapan dari penasihat AQRAB iaitu Ustaz Mohd Zaki bin Ibrahim, kemudian ucapan dari YDP diikuti pula dengan ucapan ketua AQRAB iaitu saudara Mohd Radhi bin Mohd Noh. Seterusnya dihidangkan persembahan tayangan perwakilan AQRAB bagi menyerikan lagi majlis pada malam itu.
Waktu yang ditunggu-tunggu pun tiba iaitu slot pembahagian hadiah bagi yang bertuah. Antara anugerah-anugerah yang diwujudkan ialah Anugerah Jasamu Dikenang, iaitu hadiah bagi mantan-mantan perwakilan dan ketua kelas. Ada juga Anugarah Mujahadah, Anugerah Paling Ceria, Anugerah Serbaboleh, Anugerah Lonjakan Saujana serta Anugerah Olahragawan dan Olahragawati. Pemenang-pemenang bagi kesemua anugerah tersebut telah dicalonkan oleh ahli AQRAB sendiri.
Selepas itu tayangan khas untuk Malam Gala Gemilang hasil oleh Bit-Info amat menggemparkan serta mengharukan auditorium. Majlis berakhir pada pukul 11.00 malam. Masing-masing puas hati dengan majlis pada malam itu. Ini dapat dilihat pada wajah masing-masing dengan senyuman yang terpancar di muka.

Wednesday, June 18, 2008

Lawatan AJK Perpustakaan


DARUL QURAN — 17 Jun 2008, satu lawatan bertempat di KUIS dan ILIM telah disertai seramai 28 orang pelajar banin dan banat termasuk 7 orang AJK Perpustakaan serta diiringi Pustakawan dan Pembantu Pustakawan Darul Quran sendiri.
Walaupun sedikit terkilan dengan kerenah pemandu bas yang terkeliru dengan masa bertolak dari Darul Quran tetapi alah bisa tegal biasa. Kami disambut mesra dan diberikan layanan yang istimewa terutamanya dari pihak Pustakawan KUIS. Ribuan terima kasih buat Encik Zafril dan dua orang Pustakawan yang penulis terlupa namanya yang sabar dan tidak jemu menjawab pertanyaan – pertanyaan daripada ahli-ahli rombongan. Lawatan ini merupakan yang kedua kalinya dibawah Perpustakaan Darul Quran sekitar 2001. Ternyata sistem yang digunapakai di KUIS lebih keterhadapan berbanding Perpustakaan Darul Quran seperti Sistem Virtua , penggunaan sistem komputer sepenuhnya dalam urusan pinjaman dan penkatalogan buku – buku serta sistem bar kod bagi mencegah masalah kehilangan dan kecurian buku. Namun kerana alasan peruntukan masih lagi tidak mencukupi dan diminta terus menanti peruntukan yang masih tiada jawapan hingga kini membuatkan Perpustakaan Darul Quran agak ketinggalan kerana masih lagi menggunakan sistem manual sepenuhnya dalam penkatalogan buku- buku walaupun sudah puas disuarakan oleh Pembantu Pustakawan Darul Quran sejak dari beliau memulakan khidmat di sini.
Para pelajar juga berpeluang berjumpa dengan sahabat handai mereka dari sekolah masing-masing yang sedang melanjutkan pelajaran di KUIS selama hampir tiga jam berada di sana.
Tepat jam 2:15 minit petang, anggota rombongan bergegas bertolak menuju ke ILIM. Setelah disajikan sedikit jamuan dan minuman petang serta bergambar di sekitar perkarangan ILIM seterusnya kami bertolak pulang dan sampai di perkarangan Darul Quran sekitar jam 5:30 petang. Walaupun letih jelas kelihatan di riak wajah ahli-ahli rombongan namun objektif lawatan ini tercapai dengan jayanya.
Diharapakan program lawatan ini dapat diteruskan lagi di masa akan datang.

Saturday, June 14, 2008

Rehlah AQRAB



Santuary River, Taman Tanjak — Pada 14 Jun yang lalu, Biro Reda-C (Riadah & Rekreasi) AQRAB telah menganjurkan suatu program rehlah bersama warga AQRAB bertempat di Santuary River Taman Tanjak. Program tersebut dihadiri oleh hampir 90 orang ahli daripada 127 ahli AQRAB kesemuanya. Walaupun jumlah penyertaan amat mendukacitakan sehingga pengarah program iaitu saudara Mujahid bin Dahari (perwakilan Reda-C) turut menyelar sikap kebanyakan ahli AQRAB yang masih tidak mahu komited dengan program anjuran AQRAB, namun situasi tersebut tidak sedikit pun menghalang program tersebut mencapai objektifnya.
Motif diadakan program ini adalah untuk mengeratkan ukhwah di antara ahli-ahli semester. Selaku ketua pengarah untuk program ini, saudara Mohd Noorhiqmy telah merencanakan banyak aktiviti seperti sarapan pagi bersama, muhasabah semester, BBQ dan sukaneka. Program ini turut diserikan dengan kehadiran penasihat AQRAB, Ustaz Zaki bin Ibrahim ketika warga AQRAB sibuk memanggang ayam masing-masing. Program ini telah berakhir pada pukul 2.30 petang.
Uniknya, program ini secara julung kalinya telah diadakan oleh pihak REDA-C AQRAB di luar kampus Darul Qur’an. Ribuan terima kasih diucapkan kepada ajk-ajk dan semua warga AQRAB yang terlibat dan memberikan sepenuh komitmen dalam menjayakan rehlah kali ini. Moga antum semua menjadi huffaz yang berkualiti di masa hadapan kelak .

Saturday, June 7, 2008

Liga di UPM


UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA — Pada 7 Jun 2008 yang lalu, pasukan bola sepak Darul Quran yang rata-ratanya tediri daripada warga AQRAB telah dijemput untuk menyertai sebuah kejohanan bola sepak anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), bertempat di padang Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang.
Seawal 6.30 pagi lagi, para pemain telah berkumpul di dataran asrama dan bertolak ke UPM. Perjalanan mengambil masa selama dua jam untuk tiba di UPM. Setelah mendengar taklimat kejohanan daripada pihak penganjur, para pemain bersiap sedia untuk memulakan permainan sekaligus berazam untuk mempertahankan status selaku juara bertahan. Pasukan Darul Quran yang menggunakan nama Darqis United telah berjaya mengharungi perlawanan-perlawanan yang begitu sukar dan sengit untuk sampai ke perlawanan akhir. Dalam perlawanan tersebut, pasukan Darqis United telah dijadualkan bertemu sebuah pasukan dari Gombak yang memang terkenal dengan corak permainannya yang laju dan berbahaya. Sebelum perlawanan bermula, semua pemain mendengar sedikit kata-kata semangat dan perangsang dari jurulatih iaitu Ustaz Nazri dan juga pengurus pasukan iaitu saudara Anas Shafiq.
Antara warga AQRAB yang menjadi pemain dalam perlawanan tersebut ialah Mujahid, Hazwan, Hafis, Hiqmy, Halim, Harith, Zaini, dan Shaiful. Perlawanan yang disaksikan oleh lebih kurang 100 orang penonton itu begitu menarik dan juga sengit dengan serangan-serangan dari kedua-dua pasukan. Akhirnya pasukan Darqis United telah berjaya memenangi perlawanan tersebut hasil jaringan Zaini pada minit-minit terakhir permainan.
Pengurus pasukan, saudara Anas begitu gembira sekali dengan kejayaan pasukan Darqis United menjuarai kejohanan buat kali ketiga berturut-turut. Upacara penyampaian hadiah telah dijalankan pada petang itu juga dengan para pemain mendapat medal dan hamper. Ustaz Nazri selaku jurulatih pasukan telah membuat sedikit jamuan untuk para pemain sebagai menghargai kesungguhan para pemain dalam mempertahankan kejuaraan kejohanan tersebut sekaligus telah mengharumkan nama Darul Quran. Semoga pada masa yang akan datang, pasukan ini akan terus mengungguli kejayaan demi kejayaan, berkat kesungguhan dan komitmen daripada semua pihak.

Tuesday, May 27, 2008

Pelantikan Perwakilan Pelajar Luar Negara

DARUL QURAN — Dalam sebuah pertemuan antara para pelajar luar negara dengan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) pada 27 Mei, Bahagian HEP telah menubuhkan suatu organisasi perwakilan yang khusus untuk para pelajar luar negara yang menuntut di Darul Quran.
Di dalam mesyuarat tersebut, pihak HEP telah melantik saudara Awangku Fairuz Zakry bin Pangiran Haji Rosley (AQRAB) sebagai ketua perwakilan dan saudari Noorimi binti Mohd Salimi (AQRAB) sebagai timbalan ketua bagi perwakilan-perwakilan pelajar luar negara.
Perwakilan juga telah dilantik bagi mewakili setiap semester dan hampir setiap negara. Buat pengetahuan para pelajar, di Darul Quran kini terdapat 23 orang pelajar dari Brunei Darussalam, 8 orang dari Singapura, 3 orang dari Thailand, serta 2 orang dari Kemboja.
Tujuan pelantikan tersebut adalah untuk memudahkan apa-apa urusan rasmi dan sebagainya yang perlu dilaksanakan sepanjang para pelajar berada di Darul Quran. Semoga hubungan antara para pelajar AQRAB khususnya dan warga Darul Quran umumnya terus erat tanpa mengira bangsa dan negara.

Sunday, April 6, 2008

Pengalamanku

Oleh: Muhammad Ashraf Ehtesham Bin Yunus.

Muhammad Ashraf Ehtesham Bin Yunus, merupakan anak kelahiran Perlis. Beliau adalah pelajar syukbah Qiraat (kelas Hamzah). Beliau merupakan salah seorang pelajar yang mengikuti rombongan ke tanah suci untuk menghadiri muqobalah di Universiti Islam Madinah tempohari.

Keresahan dan kebosanan jelas terpancar diwajah kami 16 orang pelajar Darul Quran dan seisi ahli keluarga Hilmi Abu Bakar yang turut serta menemani mengerjakan umrah. Kelewatan penerbangan yang sepatutnya berlepas jam 16:45 petang terpaksa ditangguhkan berikutan masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan. Akhirnya setelah hampir 7 jam menunggu, pada pukul 23:30 malam kami mendapat panggilan untuk berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Jinnah Karachi menggunakan Penerbangan Antarabangsa Pakistan ( PIA ) untuk transit sebentar beberapa jam meneruskan perjalanan ke Jeddah.
Jam menunjukkan pukul 2 pagi waktu tempatan pada 26 Mac tatkala kami melangkah keluar dari pesawat PIA dengan selamat. Tanpa melengahkan waktu, kami terus menuju ke Airport Hotel yang mengambil masa lima minit jarak perjalanan. Sedang menunggu giliran van untuk ke sana, penulis merasa kagum melihat ramai penduduk Pakistan dengan bangga menyaluti tubuh mereka dengan kurta atau dalam bahasa ibunda mereka di sesetengah tempat sebagai ‘peshto’. Dari yang bekerja dari sebagai kontraktor jalanan mahupun perumahan, pemandu kenderaan awam, peniaga di deretan jalan raya kecuali yang bekerja di sektor kerajaan.
Pada kesempatan bersiar–siar beberapa jam di bandar Karachi untuk kali pertama, penulis dapat menyimpulkan bahawa jurang perbezaan taraf kehidupan antara golongan miskin dan kaya amatlah ketara. Selain itu, membunyikan hon semasa memandu merupakan satu kebiasaan di sini. Penulis sendiri kurang pasti dan berdoa di dalam hati berkali-kali agar tidak terlibat dengan nahas di jalan raya. Alhamdulillah penulis masih dipanjangkan hayat, kerana itu anda dapat membaca coretan ini; kerana yang pastinya bukan hantu pocong yang menukilkannya, hehehe.
Walaupun tampak tidak sistematik, namun amat jarang sekali berlaku kemalangan di sini. Pembangunan giat dijalankan, namun terdapat banyak juga kesan bangunan yang rosak akibat pengeboman. Walaupun kurang selesa kerana terpaksa berasak-asak ketika menaiki teksi yang sudah menjadi kebiasaan bagi penduduk di sana, namun perkara tersebut tidak menjadi halangan untuk kami berasa teruja dan seronok selama beberapa jam bersiar-siar.
Kami tiba tiga jam lebih awal di Lapangan Terbang Antarabangsa Jinnah, Karachi setelah bersetuju untuk memakai kain ihram di sini. Ketika penulis dan beberapa orang rakan masuk ke tandas untuk menyalin pakaian, terdapat seorang pekerja di situ dengan ‘mesra’ menghulurkan sehelai tisu kepada kami setelah mengambil wudhuk. Namun apa yang menjengkelkan kami, dia ingin meminta tip atau upah dari layanan yang diberikan kepada kami. Tercengang pada mulanya, namun kami tidak mahu melayan kerenahnya kerana masing-masing sudah arif dengan gelagat pekerja di sini.
Agak melucukan apabila seorang kawan penulis tertukar kain ihram dengan dua helai tuala putih semasa kami menginap di Airport Hotel. Namun ini mungkin kesilapan penulis juga kerana pernah terpakai kain ihram tersebut yang disangkakan penulis sebagai tuala.
Kawan penulis bernasib baik kerana Pak Cik Abu Bakar sudi meminjamkan kain ihram beliau kepadanya. Setelah selesai urusan pemeriksaan tiket dan pasport, tanpa sebarang kelewatan kami meneruskan perjalanan dari Karachi menuju ke Jeddah yang mengambil masa kira-kira lima jam perjalanan.
Setelah berniat miqat di atas kapal terbang, pesawat kami akhirnya selamat mendarat di Lapangan Terbang Raja Fahd, Jeddah kalau tidak salah penulis pada jam 9 malam bersamaan 26 Mac serta disambut mesra wakil KRS Travel. Destinasi diteruskan menuju ke Makkah dengan menaiki bas. Kesempatan yang ada digunakan penulis untuk melelapkan mata sebentar kerana kepenatan ditambah pula dengan peralihan waktu yang ditempuhi sepanjang perjalanan.
Kami tiba di perkarangan bangunan Hotel Ufuk Fateh, hotel kos sederhana yang terletak 300 meter sahaja dari Masjid Al-Haram. Kami akan tinggal di Makkah selama tiga hari sebelum menuju ke Madinah untuk urusan temuduga kemasukan pelajar baru di Universiti Islam Madinah. Tanpa melengahkan masa penulis bersama 20 orang anggota rombongan yang lain terus berjalan menuju ke Masjid Al-Haram.
Amat menakjubkan, masjid yang menjadi kiblat umat Islam di seluruh pelusuk dunia ini tidak pernah sepi daripada kunjungan orang ramai yang sentiasa berpusu-pusu memenuhi perkarangan masjid untuk melakukan pelbagai aktiviti ibadah yang dilipatgandakan ganjarannya oleh Allah walaupun pada pukul satu pagi waktu di sini. Penulis memanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana tidak ditutupi pandangan daripada melihat kaabah. Gusar hati ini kerana terkesan dengan cerita kawan penulis yang mengatakan terdapat juga kejadian individu yang tidak diizinkan Allah untuk melihat Kaabah dari kaca mata sendiri. Dipimpin seorang mutawwif, kami alhamdulillah selesai mengerjakan ibadah umrah pertama pada jam tiga pagi.
Sejam sebelum azan subuh berkumandang digunakan anggota rombongan dan penulis untuk membersihkan diri dan berehat sebentar sebelum menuju ke masjid. Usai solat subuh di hadapan Kaabah, penulis turut mengerjakan solat jenazah bersama jemaah yang lain. ‘Thoriq ya Haji! / Thoriq ya Hajjah!’ adalah perkataan yang sering kedengaran di sini untuk membuka laluan bagi individu-individu yang mengusung mayat setelah sempurna disolatkan dan bagi mereka yang duduk di tepi tangga masjid.
Fajar subuh mula menyinsing pada pukul enam pagi. Suasana perniagaan di luar perkarangan Masjid Al-Haram amat meriah dengan gelagat penjual yang bukan warganegara Arab Saudi yang datang dari Pakistan, Bangladesh, Afrika, Yaman, Indonesia dan pelbagai negara lagi yang tidak penulis ketahui. Harga yang ditawarkan agak murah dan berpatutan mengikut kualiti barangan yang dijual.
Kualiti udara di Makkah pada masa itu agak kotor dan berdebu terutama yang berdekatan dengan sekitar masjid kerana aktiviti pengubahsuaian dan pembinaan untuk meluaskan kawasan masjid bagi menampung kapasiti jemaah yang semakin bertambah dari masa ke semasa. Banyak pintu utama seperti Bab Al-Salam serta Bab Al-Umrah ditutup untuk tujuan tersebut dan tidak ketinggalan hotel-hotel sekitar masjid yang akan digantikan dengan hotel-hotel yang mencakar langit dan berkos taraf lima bintang. Kami difahamkan, pembinaan ini sudah dimulakan sejak berakhirnya musim haji yang lalu.
Kulit di kaki dan di bibir mula merekah dan penulis tidak terkecuali hingga mengalami pendarahan akibat tempias suhu cuaca yang panas kering tanpa lindungan awan. Usai solat, penulis tidak akan lupa untuk meneguk tiga hingga empat gelas kecil air zam-zam di Masjid Al-Haram bagi mengelakkan proses dehidrasi yang melampau. Pada waktu solat maghrib, isyak dan subuh, penulis lebih suka datang awal untuk solat di hadapan Kaabah. Terasa satu kepuasan jika dapat menatap Kaabah dengan jarak yang lebih dekat malah memerhatikannya sahaja bukan sahaja mendapat pahala malahan mendamaikan jiwa yang lara.
Cuti umum bagi negara Arab Saudi adalah pada hari khamis dan jumaat. Oleh itu, tidak hairanlah jika penduduk yang sememangnya warganegara di sini mengambil kesempatan untuk mengunjungi Masjid Al-Haram untuk melakukan amal ibadat.Adalah satu kesilapan besar bagi mereka yang sesuka hati meletakkan kenderaan di bahu jalan walaupun seminit pada hari jumaat kerana para pekerja kereta tunda akan mengangkat kenderaan yang didapati bersalah menghalang kelancaran jalan raya. Ramai peniaga menutup kedai-kedai mereka untuk membolehkan mendapat tempat yang selesa semasa solat jumaat nanti. Malahan ada yang sudah datang beriktikaf di masjid seawal jam 10 pagi lagi. Peluang mendengar Imam terkenal iaitu Syeikh Abd Al-Rahman Al-Sudaisy mengalunkan bacaan surah al-quran pada solat subuh dan menjadi khatib pada hari jumaat secara langsung tersebut merupakan antara kenangan yang sukar dilupakan penulis termasuk anggota rombongan yang lain. Di sini, jemaah wanita turut serta berpusu-pusu datang pada hari jumaat untuk solat jumaat secara berjemaah bersama jemaah lelaki yang lain. Satu fenomena yang jarang-jarang dapat di lihat di negara kita.
Setelah sempurna mengerjakan tawaf widak, kami meneruskan perjalanan ke kota Madinah pada lewat pukul tiga petang. Perjalanan jauh yang boleh diibaratkan menempuh pengembaraan dari kuala lumpur ke kelantan jaraknya. Sepanjang perjalanan, rasa pening-pening lalat dan loya perut membuat kami berasa tidak selesa dan mengharap agar cepat sampai ke destinasi yang ditujui. Kami banyak disajikan dengan panorama padang pasir dan bukit-bukau yang kering kontang bersama pokok kaktus sepanjang perjalanan.
Maghrib hampir menjelang dan mentari mula memancarkan cahaya merah jingga.Langit malam hampir berlabuh, lantas pemandu bas kami memutuskan untuk berhenti solat di sebuah kawasan rehat di situ. Rasa dingin mula mencengkam tubuh hingga ke tulang sum-sum. Penulis mula merasa menyesal kerana tidak membawa baju sejuk sebgai perisai perlindungan tubuh. Penulis difahamkan seorang bekas pelajar Darul quran yang merupakan senior penulis ketika kami bertemu di masjid sehari sebelum bertolak ke Madinah bahawa Arab Saudi baru sahaja usai musim sejuk dan sedang dalam peralihan musim panas. Sangkaan penulis ternyata meleset kerana angin pada malam itu mampu membuatkan penulis jatuh sakit. Hanya berbekalkan kain ihram diharapkan dapat memanaskan tubuh sementara sampai ke kota madinah.
Terkejut dan rasa tidak percaya melihatkan tahap kebersihan tandas dan sistem kumbahan yang terdapat di situ hampir membuatkan kami loya namun digagahkan jua diri kerana perjalanan masih jauh. Bukan ingin mengkritik membabi buta tetapi pada pandangan penulis sistem kumbahan dan tahap kebersihan yang ditawarkan di negara kita jauh lebih baik berbanding di kawasan rehat di sini. Ketika tiba giliran penulis untuk mengambil wudhuk, penulis agak terkial-kial menggunakan pili air di situ kerana sekali tekan maka sedikit air sahaja akan mencurah keluar. Hairan kerana memerhatikan pili yang digunakan anggota jemaah yang lain tidak begitu. Gelagat penulis yang sudah lama diperhatikan orang arab Badwi di situ ditegur dengan amarah. Penulis tiak dapat menangkap dan memahami keseluruhan isi butirnya namun penulis faham dia marah kerana beranggapan penulis sengaja membazirkan air yang nilainya lebih mahal dari petroleum mahupun diesel.
Akhirnya kami tiba di jua di kota Madinah lewat malam. Suasana di sini amatlah berbeza dengan jaringan jalan raya yang sistematik, kedudukan bangunan yang tersusun,suhu yang agak sejuk dan kualiti udara yang baik dan segar berbanding ketika di Makkah. Boleh diibaratkan kehidupan penduduk di kota ini seperti taraf hidup di Kuala Lumpur. Kami menginap di sebuah hotel bernama Abrar Salam ataupun Zuwar Salam yang tidak jauh dari Masjid Nabawi yang jelas kelihatan.
Keesokan harinya kami 16 orang pelajar Darul Quran akan bertolak menuju ke Universiti Islam Madinah untuk menghadiri sesi temuduga. Dengan diiringi dua orang bekas pelajar Darul Quran yang sedang menuntut di universiti tersebut, kami bertolak menaiki kenderaan sewa dengan bayaran Rs 30 .
Lengkap berpakaian jubah putih dan selipar, kami melangkah dengan rasa teruja kerana dapat menjejakkan kaki di universiti. Sesi temuduga berjalan dan kami sempat bertanya khabar dengan bekas-bekas pelajar Darul Quran yang sedang melanjutkan pelajaran di sini.
Kami berkesempatan menziarahi beberapa tempat yang bersejarah dan menarik seperti Masjid Qiblatain, Jabal Uhud, Ladang Kurma dan Kompleks Percetakan Al-Quran. Rombongan kami bertolak meninggalkan kota Madinah usai solat zohor dan berkempatan menunaikan ibadah umrah buat kali kedua semasa berniat miqat di Bir Ali. Makkah bertambah meriah dengan kehadiran jemaah seperti dari Turki, Indonesia, India, Pakistan.
Tiga hari terakhir yang masih bersisa kami gunakan sebaik-baiknya untuk melakukan ibadah, menunaikan umrah buat kali terakhir selepas menziarahi beberapa buah destinasi seperti Jabal Thur, ladang unta, Muzium Kaabah sebelum bertolak pulang meninggalkan Makkah pada 3 April. Kami juga berkesempatan melawat Masjid Terapung di Jeddah sebelum berlepas setelah dilewatkan dua jam masa perjalanan menuju ke Karachi untuk transit beberapa jam sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur.
Pada 5 April, rombongan kami selamat tiba di perkarangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur walaupun pesawat yang dinaiki oleh kami pada mulanya terpaksa ditukar dengan pesawat yang lain akibat masalah kerosakan. Kami bersyukur kerana dapat menyempurnkan ibadah umrah dan menunaikan hasrat ibu-bapa masing-masing untuk menghadiri sesi temuduga. Kenangan semasa berada di Karachi, Makkah dan Madinah menerpa kembali namun masing-masing berazam untuk kembali lagi melihat tempat bermula berkembangnya sinar Islam.