Thursday, October 30, 2008

Abdul Rahman berlepas ke Madinah


K.L.I.A-Tanggal 30 Oktober 2008, lebih kurang seramai 20 orang pelajar banin A.Q.R.A.B telah berkumpul di K.L.I.A, Sepang bagi mengiringi pemergian sahabat kita, Saudara Abdul Rahman Bin Zainal Abidin atau lebih dikenali dengan panggilan Man-Dun dikalangan banin A.Q.R.A.B bagi melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Madinah. Pada mulanya, beliau dijadualkan berlepas ke sana pada 9 Oktober 2008 tetapi penerbangan beliau terpaksa ditangguhkan disebabkan masalah bagi mendapatkan visa dari kerajaan Arab Saudi.

Siapa sangka setelah 5 semester bersama menjalani kehidupan di Darul Quran, beliau nekad membuat keputusan untuk mengejar impiannya sejak dari zaman persekolahan lagi bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang ilmu Hadith di Madinah, Arab Saudi. Untuk pengetahuan sahabat A.Q.R.A.B, Saudara Rahman sendiri menjangkakan beliau akan melanjutkan pelajaran di sana sebaik sahaja tamat pengajian di Darul Quran kerana kebiasaannya tawaran akan diterima selepas 2 tahun dari tarikh permohonan tetapi tanpa disangka-sangka tawaran tersebut datang lebih awal dari jangkaan beliau. Sepertimana yang sering beliau katakan, inilah dia yang disebut “Qaddarallahu masya~a fa’al” . Beliau mengharapkan sahabat-sahabat A.Q.R.A.B banin dan banat memahami keputusan beliau seterusnya mendoakan kejayaan beliau disana.

Sepanjang pengajian di Darul Quran, beliau telah banyak melibatkan diri dalam pelbagai organisasi terutamanya selaku setiausaha A.Q.R.A.B dan pengerusi bagi bagi Kelab Bahasa Darul Quran. Moga-moga Allah s.w.t akan memberkati kehidupan beliau atas segala usaha baik yang telah dicurahkan. Sebagai sahabat beliau, marilah kita banin dan banat A.Q.R.A.B bersama-sama mendoakan supaya segala urusan beliau dipermudahkan dan dikurniakan kejayaan yang cemerlang... Amin.

No comments: