Monday, July 21, 2008

KPP Pendaftar Baharu Darul Quran



DARUL QURAN — Mungkin masih ramai yang belum sedar akan kehadiran seorang Ketua Penolong Pengarah Pendaftar baharu di Darul Quran, iaitu Ustaz Haji Abdul Kodir bin Sallah. Oleh itu, baru-baru ini wartawan Up to the Minute telah mengatur sebuah pertemuan dengan beliau untuk mengenali beliau dengan lebih dekat.
Ustaz Haji Abdul Kodir berusia 52 tahun dan merupakan anak sulung daripada enam orang adik-beradik. Anak kelahiran Kedah ini telah dikurniakan tujuh orang anak. Ustaz Haji Abdul Kodir telah mendapat pendidikannya di Sekolah Menengah Agama Makarimul Akhlak, Langgar, serta Sekolah Raudhatul Ulum, Langgar. Kemudian, beliau melanjutkan pengajiannya di Yayasan Pengajian Islam Tinggi Kelantan, seterusnya di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, di mana beliau berjaya memperoleh ijazah sarjana muda dalambidang Syariah dan Usuluddin. Beliau juga mempunyai Sijil kefatwaan Darul Iftak daripada Universiti Al-Azhar, Mesir.
Sebelum ditugaskan di Darul Quran, Ustaz Haji Abdul Kodir merupakan Ketua Penolong Pengarah (KPP) Bahagian Undang-undang Syariah di Jabatan Agama Islam Melaka dari 2006 sehingga 2008. Beliau juga pernah menyadang jawatan pengetua di IKMAS, serta pernah berkhidmat di BAHEIS dalam bidang dakwah.
Apabila ditanya tentang perasaanya ketika mula-mula ditugaskan di sini, beliau berkata bahawa beliau berasa amat gembira kerana bidang pendidikan di Darul Quran amat bersesuaian dengan bidang yang diceburinya.
Ustaz Haji Abdul Kodir juga mempunyai aspirasi yang tinggi untuk Darul Quran serta para pelajarnya. Beliau berharap agar para pelajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan. Katanya, “Harapan ustaz agar lebih ramai lagi yang mencapai imtiyaz pada tahun ini dan akan datang.” (Ingat tu, AQRAB! Sahut cabaran!) Oleh yang demikian, para pelajar hendaklah membuat persediaan dari sekarang.
Ustaz Haji Abdul Kodir juga telah memberi ulasan positif mengenai penerbitan Up to the Minute (UTTM). Katanya, “(UTTM merupakan) suatu idea yang bagus kerana melalui UTTM ini, (kita) dapat tahu apa yang berlaku dalam semester AQRAB.” Katanya lagi, “Cadangan daripada ustaz agar UTTM diberi kepada orang-orang penting Darul Quran. Dan untuk keluran akan datang cuba untuk temubual pelajar-pelajar yang cemerlang dalam konvokesyen tahun ini.”

No comments: