Thursday, May 21, 2009

Yang Bagaimana? [Bahagian III]



Lalu lelaki bagaimanakah yang harus dipilih sebagai suami?


Jawapan paling mudah ialah: seorang Muslim Mukmin yang baik. Kita semua pun tahu sabda Rasulullah s.a.w.:

"Apabila datang kepadamu seorang pemuda yang kamu redai agama dan akhlaknya, maka kahwinkanlah dia (dengan perempuan yang berada dalam jagaanmu). Jika kamu tidak melaksanakannya, maka akan terjadi fitnah di muka bumi dan tersebar kerosakan." (At-Tirmizi)

Sehubungan dengan memilih calon suami untuk anak perempuan berdasarkan ketakwaannya, Al-Hasan bin Ali rahimahullah pernah berkata pada seorang lelaki:

"Kahwinkanlah puterimu dengan lelaki yang bertakwa, kerana jika lelaki itu mencintainya maka dia akan memuliakannya, dan jika tidak menyukainya maka dia tidak akan menzaliminya.”

Seperti juga lelaki, perempuan turut disarankan untuk memilih teman hidup yang berkualiti agamanya. Mengapa? Kerana munasabahnya, jika seseorang itu mematuhi panduan Islam dalam segenap aspek hidupnya, berkemungkinan besar, individu tersebut sudah berada di jalan menuju kecemerlangan dunia dan akhirat. Siapa yang tidak mahu mendampingi pemuda sebegitu?

Namun, setinggi mana pun harapan kita untuk mendapat teman hidup yang terbaik, realitinya, tidak ada manusia yang sempurna. Tetapi janganlah menjadikannya alasan untuk memilih cinta hati yang berpendidikan tinggi, berkerjaya hebat, baik hubungannya dengan masyarakat, serba-serbi lengkap dan sempurna, tetapi meringankan kepentingan akhirat dirinya dan keluarganya. Ada perkara yang tidak boleh dikompromi.

Agamanya.

Masalahnya, kita tidak akan benar-benar tahu bagaimanakah sikap seseorang lelaki itu selaku suami sehinggalah dia menjadi seorang suami, betul? Jadi, takkanlah kita mahu letakkan ciri-ciri suami suami soleh pada seseorang lelaki untuk dijadikan kayu ukur, sedangkan dia belum lagi menjadi seorang suami! So how?

Anda mahu cari suami yang terbaik? Carilah seorang muslim yang sejati. The true Muslim is an ideal husband. Wah. Takkan kering blog ni kalau disenaraikan sifat-sifat/ciri-ciri Muslim Mukmin yang soleh!

Penulis kira, kita semua sebenarnya sudah tahu what defines an ideal Muslim. Malah status "ideal muslim" itulah yang sedang kita semua kejar. Tapi, tak rugi kalau kita revise balik the essentials.

Siapa dia muslim yang baik (baca: calon suami perh)?

Kayu ukur #1: Hubungannya dengan Tuhannya bagaimana?

Jom imbau sikap role model sepanjang zaman, Rasulullah s.a.w. dalam sikap baginda terhadap Penciptanya.

Sungguh Nabi s.a.w. solat malam hingga kedua tapak kakinya merekah. `Aishah berkata kepada baginda: “Mengapa engkau melakukan hal ini wahai Rasulullah, padahal Allah telah mengampuni dosa-dosamu yang telah lalu dan yang akan datang.” Baginda bersabda: “Apakah aku tidak ingin menjadi hamba yang sangat bersyukur?” (Riwayat Bukhari)

Masha Allah. Inilah insan berjiwa hamba dalam erti kata sebenar. Kalau lelaki atau perempuan yang sebegini bersungguh ibadahnya di sepertiga malam, sudah tentu ibadah-ibadah wajibnya juga sudah dalam tangan.

Muslim yang baik juga sensitif terhadap hal-hal yang boleh menjerumuskannya kepada maksiat terhadap Tuhannya. Jika tersilap langkah, dia akan segera bertaubat.

Kayu ukur #2: Hubungannya dengan manusia bagaimana?

Dia seorang anak yang soleh, seorang abang/adik yang menjaga saudara-saudarinya, seorang sahabat yang baik, seorang pelajar yang memuliakan ilmu serta gurunya, seorang yang suka mendampingi dan memuliakan ulama’ dan orang-orang soleh, seorang pemimpin yang berkarisma, seorang manusia yang berbudi bahasa serta tidak mudah memandang rendah pada sesiapa, seorang lelaki yang memelihara dirinya daripada fitnah wanita dan dalam masa yang sama tetap memelihara wanita yang berada di sekelilingnya. Perh. Penulis yang sedang menulis pun hampir pengsan menyenaraikan senarai tersebut. Gentleman tahap tertinggi nih. Pendek kata, kalau diletakkan di mana-mana pun, dia akan menyebarkan gelombang kebaikan kepada masyarakat sekitarnya.

Kayu ukur #3: Hubungannya dengan alam bagaimana?

Oleh sebab kehidupan kita berlaku di atas bumi Tuhan, maka jangan lupa menghormati alam sekitar anda. Maknanya, muslim yang baik mempunyai kesedaran sivik yang tinggi. Buang sampah sesuka hati, zalim terhadap makhluk lain seperti haiwan dan jin… semua itu bukan amalannya.

P.S.: Bukan mudah untuk bertemu lelaki seperti ini, kan? Tapi penulis yakin, golongan ini masih wujud. Anyway, my point is, bayangkanlah, mudahkah untuk mendidik anak-anak kita kelak agar mereka menjadi sehebat ini? Persiapkanlah diri kita.

Itu hanya sedikit panduan. Bukan mudah untuk menilai manusia lain kerana kita juga manusia yang mempunyai kekurangan sendiri, tetapi selagi anda diberi ruang untuk memilih, pilihlah.

Apa untungnya memilih muslim yang baik sebagai suami? Di sini penulis ingin menyenaraikan beberapa kelebihannya:

1) Muslim yang sejati takkan mudah marah disebabkan hal-hal kecil,
2) Dia memahami isterinya serta menghormati perasaannya,
3) Dia membantu untuk melengkapi kekurangan dan kelemahan yang ada pada isterinya,
4) Dia bijak menyeimbangkan perhatiannya antara menggembirakan isterinya dengan kewajipan melayan ibunya dengan penghormatan yang selayaknya,
5) Dia benar-benar faham akan peranannya sebagai penjaga dan maintainer (qawwam) kepada isterinya,
6) Dia akan menegur kesilapan isterinya dan takkan membiarkannya melakukan maksiat. Dengan berhemah dan berhikmah, dia akan menjelaskan kepada isterinya bahawa setinggi manapun kasihnya terhadap si isteri, dia lebih lagi mencintai Allah dan RasulNya, serta keinginannya untuk mencari reda Allah adalah lebih kuat daripada perasaannya terhadap isterinya:

"Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)." (Qur’an 9:24)

7) Dia menepati garis panduan Islam dalam kehidupan berumahtangga.
8) Dia akan bersabar dengan kerenah dan kekurangan isterinya.

Dengan sikap dan layanan yang sedemikian baik, suami yang muslim akan memenangi hati isterinya dengan mudah, sehinggakan isterinya tidak akan mengingkarinya dalam apa jua perkara. Suami berwibawalah kiranya.

Islam menganggap wanita sebagai amanah yang dipertanggungjawabkan kepada suami mereka. Dan biasanya isteri akan mudah dipengaruhi oleh suami, maka berkemungkinan si suami akan memimpin isterinya ke syurga, atau menuju neraka. Kerana inilah, Allah telah memberi peringatan yang sangat jelas kepada orang-orang yang beriman:

"Wahai orang-orang yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” (Qur’an 66:6)

Kadang-kadang, terlintas di fikiran penulis, “untungnya jadi perempuan!” Kalau seseorang perempuan itu berbapa atau bersuami, banyak sekali perihal dirinya yang akan di-supervise oleh si ayah atau suami. Rasanya seperti Allah kurniakan pelindung dan penasihat peribadi (bond sepanjang hayat pula tu).

Buat sidang pembaca lelaki pula, penulis ingin berkongsi sedikit ingatan daripada baginda nabi s.a.w. mengenai psikologi diri seorang wanita :

“Perlakukanlah isteri-isterimu dengan baik, kerana wanita diciptakan daripada tulang rusuk. Bahagian yang paling bengkok daripadanya adalah yang teratas sekali. Jika engkau cuba untuk meluruskannya, ia akan patah, dan jika engkau membiarkannya, ia akan kekal bengkok. Maka perlakukanlah para wanita dengan baik.” (Bukhari and Muslim)

Rasulullah s.a.w. telah mengumpamakan dengan jelas sifat-sifat semulajadi seorang wanita di dalam sabdanya ini. Si isteri mungkin tidak akan konsisten dengan cara dan gaya yang dikehendaki oleh suaminya, tetapi suami yang muslim mestilah faham bahawa demikianlah nature si isteri, kerana dia sudah diciptakan sedemikian. Maknaya, jika si suami mahu mengubah isterinya, dia tidak akan mampu membuat demikian tanpa memahami terlebih dahulu psikologi seorang wanita yang takkan mudah dibentuk tanpa hikmah dan kesabaran.

Jika si lelaki melihat bahawa isterinya memerlukan bantuan, dia akan menghulurkannya dengan senang hati. Jika isterinya mengadu keletihan atau kebosanan, dia akan memujuknya dengan kata-kata yang meringankan beban sang isteri. Lelaki yang baik akan membuat isterinya merasakan bahawa dia sedang hidup bersama seorang suami yang kuat, pemurah, bertolak ansur serta akan sentiasa menjaga dan mengambil berat tentang dirinya di samping akan memenuhi keperluan-keperluannya yang sah selagi termampu.

Pendek kata jadilah seorang lelaki yang baik.

*stretches fingers* Jangan lupa ikuti season finale esok.

No comments: